Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari 20: Saksi tak sihat, bicara tangguh awal

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib Razak dan dana bernilai RM2.28 bilion bersambung lagi hari ini.

Bekas perdana menteri dan presiden Umno itu dibicarakan di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, dengan diwakili sepasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Pihak pendakwaan pula diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram.

LANGSUNG

12.10 tengah hari: Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan saksi kesembilan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berhenti memberi keterangan lebih awal hari ini kerana mengalami gangguan kesihatan.

Sequerah: Kamu tak boleh teruskan?

Shahrol: Ya, saya rasa saya tak boleh.

Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga pagi Isnin depan.


10.50 pagi: Ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, memberitahu kesihatan saksi mereka, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak begitu baik pada hari ini dan dinasihat supaya memohon kepada hakim untuk mendapatkan rawatan.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu kemudian meminta agar diberi pengecualian daripada sesi tengah hari ini.

Hakim kemudian mengarahkan Shahron memaklumkan keadaan kesihatannya kepada mahkamah menjelang waktu rehat tidak lama lagi.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan selama 15 min.


10.48 pagi: Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, membantah apabila dicadangkan oleh peguam Najib bahawa dia tidak mempunyai sebarang fungsi dalam syarikat itu.

Sebelum itu Shafee mencadangkan Shahrol sekadar soprammobile (hiasan meja) dalam 1MDB kerana peranan dimainkan Jho Low.

Saranan itu dibuat Shafee selepas Shahrol memberitahu dia mempercayai kata-kata Jho Low tanpa perlu membuat semakan.


10.45 pagi: Ahli perniagaan yang diburu polis, Jho Low, hari ini digambarkan saksi kesembilan pendakwaan sebagai consigliere (penasihat) kepada Najib.

"Dia (Jho Low) ketika itu mewakili Najib. Mengikut perkataan Itali, dia adalah consigliere, yang memastikan segala-galanya berjalan lancar untuk perdana menteri," katanya.

Terdahulu Shahrol yang juga saksi kesembilan pendakwaan ditanya Shafee mengenai peranan keseluruhan ahli perniagaan tersebut dalam 1MDB, terutama ketika mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada Jun 2009.

Dalam mesyuarat itu, wakil Sultan Mizan Zainal Abidin - ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong - mengadu mengenai peranan Jho Low.

Mengikut kelaziman, perkataan consigliere merujuk kepada penasihat atau orang kepercayaan bagi penyangak Itali.


10.20 pagi: Jho Low didakwa pernah memberitahu Shahrol Azral Ibrahim Halmi bahawa Najib memberi persetujuan supaya Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) diambil alih oleh kerajaan pusat.

Saksi kesembilan pendakwaan itu memberitahu mahkamah, sepucuk surat dikemukakan olehnya kepada Najib - yang ketika itu menjadi perdana menteri - pada 25 Jun 2009 bagi mencadangkan agar TIA dijadikan syarikat milik kerajaan persekutuan.

"Ketika itu saya melihat surat yang tergesa-gesa itu, ia adalah waktu kelam-kabut kerana saya mahu Jho (Low) menjelaskan kepada saya apa yang diinginkan perdana menteri ketika itu.

"Jadi akhirnya apabila surat ini dikeluarkan, dia (Jho Low) datang dan berkata, Najib dah bersetuju untuk mengubah TIA menjadi 1MDB," katanya.


10.10 pagi: Menurut Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pada suatu ketika 1MDB memiliki empat tokoh terkenal di peringkat antarabangsa dalam lembaga penasihatnya.

Kata saksi tersebut, mereka ialah Pengerusi Louis Vuitton, Bernard Arnault; bekas perdana menteri Qatar, Jaber al-Thani; Pengerusi CITIC Group, Chang Zhenming; dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon al-Mubarak.

Menjawab soalan peguam bela Najib, Shahrol memberitahu mahkamah, tokoh terbabit memang menerima pelantikan dibuat 1MDB, termasuk Arnault yang ditemuinya sendiri di Paris, Perancis.

Katanya Arnault secara lisan menerima pelantikan yang dibuat, manakala Zhenming memaklumkan persetujuan melalui sepucuk surat.

Shahrol memberitahu, semua tokoh antarabangsa itu dicadangkan oleh Jho Low.

Ditanya apakah kewajaran mereka dilantik, Shahrol berkata, tokoh terbabit memang dikenali ramai dan menjadi antara ahli perniagaan paling berjaya di dunia.

"Bernard Arnault jelas ahli perniagaan berjaya di dunia. Saya fikir ia cukup untuk menjadi justifikasi. Dia adalah satu daripada lima lima orang terkaya di dunia," katanya.

Bagaimanapun, menurut Shahrol, tidak pernah ada mesyuarat lembaga penasihat antarabangsa diadakan walaupun usaha tersebut ada dibuat.

Katanya hal itu kerana mereka gagal mendapat tarikh yang boleh dihadiri oleh keempat-empat tokoh terbabit.


9.48 pagi: Ketua pendakwaan memberitahu mahkamah, peguam - Hisyam Teh Poh Teik - hadir dalam perbicaraan hari ini sebagai wakil pemerhati untuk syarikat Goldman Sachs.


9.46 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh.


Semalam Shafee berkata beliau akan menyoal balas saksi pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berhubung beberapa aspek penting.

Shafee berkata pihaknya akan menyoal bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu berhubung isu-isu berkaitan pertukaran syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) menjadi entiti syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan pada pertengahan 2009.