Skip to main
Logo Malaysiakini

Undang-undang syariah: T'ganu tak mahu tergesa-gesa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan PAS Terengganu tidak bercadang terburu-buru melaksanakan undang-undang syariah Islam di negeri itu, antara lain bagi mengelak 'diserang' musuh.

Exco Terengganu, Satiful Bahri Mamat, berkata buat masa ini kerajaan negeri sekadar mengambil pendekatan mendidik dan menasihat orang ramai, selain giat menjalankan penjelasan.

Antarnya kata beliau mengadakan sesi meja bulat dari semasa ke semasa, sesuai dengan perkembangan semasa.

“Kita mahu mendidik rakyat agar tahu indahnya syariat Islam, hidup dengan syariat dan suka syariat kerana masyarakat sekarang sudah berubah.

"Pendekatan yang dibuat juga perlu berubah,” katanya dipetik Sinar Online ketika suatu majlis di Dungun semalam.

Terengganu kini ditadbir oleh PAS selepas parti itu menang besar dalam pilihan raya umum tahun lalu.

PAS yang selama ini konsisten mahu menegakkan undang-undang Islam dan Terengganu pernah meluluskan rang undang-undang kesalahan jenayah syariah pada awal 2000-an dulu.

Tak akan agresif

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu itu diperkenankan Sultan Terengganu pada Sept 2002.

PAS mempunyai 22 orang Adun di DUN Terengganu manakala baki 10 kerusi lagi dikuasai Umno.

DUN Terengganu kini boleh dianggap tidak mempunyai pembangkang apabila PAS dan Umno menjalin kerjasama rasmi melalui Muafakat Nasional baru-baru ini.

Kerajaan Terengganu kini diketuai Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga bekas setiausaha politik Abdul Hadi Awang.

Satiful Bahri juga berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan ke atas penunggang motosikal yang membenarkan seseorang bukan mahram membonceng kenderaan mereka.

Bagaimanapun kata exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu bagaimanapun menjelaskan tiada tindakan sewenang-wenangnya seperti menangkap atau memenjara pelaku akan dibuat.

Sebaliknya kata Satiful Bahri kerajaan negeri akan memberikan nasihat terlebih dulu.

“Maknanya tidak agresif, dan pada masa sama memberi imej yang baik supaya 'musuh' tidak mudah menyerang kita,” katanya.