‘WKB2030 perlu radikal jika mahu berjaya’
Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Laurence Todd menyifatkan masih terlalu awal bagi menilai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).
Bekas penasihat kepada perdana menteri United Kingdom sebelum ini David Cameron itu berkata dokumen 188 halaman yang dilancarkan kerajaan itu sangat asas.
"Kita dapat lihat bagaimana ia berbeza dengan polisi-polisi ekonomi sebelum ini, yang mensasarkan golongan yang memerlukan untuk memertabatkan ekonomi tanpa mengira kaum dan agama.
"Tetapi, ia tidak dijelaskan secara spesifik bagaimana ia akan dilaksanakan," katanya Todd kepada Malaysiakini.
Todd berkata buat masa ini apa yang perlu dilakukan adalah tunggu dan lihat.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran sasarannya kemungkinan tidak akan dicapai tanpa langkah-langkag radikal.
"Saya dah membaca dokumen itu. Bagi saya, kemungkinan untuk mencapai sasaran tanpa langkah yang besar atau langkah baru yang berani adalah tipis.
“Kita perlu lihat banyak langkah-langkah radikal,” katanya.
Sebagai contoh, kata Todd, “ekonomi asas” seperti peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu ditukar.
“Nasihat saya, kita perlu menggalakkan lebih banyak pembangunan sektor swasta berbanding GLC.
“Kita lihat sumbangan bumiputera dalam Keluaran Dasar Negara Kasar (KDNK) adalah 46 peratus.
“Tapi, ia kurang jauh rendah (10 peratus menurut Kementerian Pembangunan Usahawan) tanpa penglibatan GLC," katanya ketika ditanya adakah sasaran diletak dalam WKB2030 realistik.
"Jadi, saya tidak lihat dasar baru ini akan memberi hasil tanpa pembaharuan dalam dasar utama, peranan GLC. Ekonomi negara akan kekal tetap sama," katanya.
Todd juga memberitahu bahawa beliau perlu melihat di Bajet 2020 atau pengumuman kerajaan masa akan datang berkenaan WKB 2030 untuk mendapatkan satu gambaran yang lebih jelas.
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) menggariskan 10 sasaran awal yang berpaksikan keberhasilan dan penekanan terhadap pencapaian negara termasuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkatkan pendapatan kumpulan B40 dan mengurangkan jurang pendapatan antara kaum.
Antara sasaran tersebut adalah KDNK benar berkembang pada kadar purata sebanyak 4.7 peratus setahun pada harga malar dan disasarkan mencapai RM3.4 trilion pada harga nominal.
Sasaran lain digariskan adalah purata pendapatan wajar (berasaskan perbelanjaan) tidak kurang daripada RM5,800 sebulan bagi kumpulan isi rumah B40.
Selain itu gaji penengah bulanan antara kumpulan etnik Bumiputera, Cina dan India disasarkan pada nisbah 1:1:1.
‘Tak berasaskan kaum’
Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai mengakui bahawa WKB2030 berbeza dengan DEB kerana ia tidak berasaskan kaum.
Namun, Dr Barjoyai menjelaskan bahawa WKB2030 dilancarkan masih dalam kaedah polisi dan mengakui agak umum dan perlu melihat apabila ia dijelaskan secara terperinci.
"Kita hanya boleh membuat nilaian dengan dokumen yang jelas dan pelaksanaan secara terperinci seperti apa yang dilakukan dan kumpulan mana disasarkan apa yang diharapkan,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini WKB2030 lebih kepada peningkatan kemahiran dan kepakaran kemudian memastikan peluang yang sama dalam aktiviti produktif seperti perniagaan.
"Namun, kita perlu program dan matlamat dan pelaksanaan yang khusus. Baru kita dapat lihat dengan yakin adakah ini merupakan yang usaha yang serius atau sebaliknya," tambahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai