Skip to main
Logo Malaysiakini

Belanjawan 2020: Apa kata menteri, pemimpin pembangkang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di parlimen semalam menyaksikan penurunan sebanyak 5.57 peratus iaitu RM297.020 bilion berbanding peruntukan sebanyak RM314.55 bilion pada Belanjawan 2019.

Bagaimanapun, difahamkan kerajaan tidak mengurangkan perbelanjaan operasi biasa dan perbelanjaan pembangunan.

Menurut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kerajaan Pakatan Harapan telah membentangkan Belanjawan 2020 dengan menyediakan peruntukan tambahan meskipun kerajaan sedang menanggung bayaran hutang.

Berikut diperturunkan maklum balas menteri pentadbiran PH dan pemimpin pembangkang:

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik:

"Sudah tentu dalam bidang pendidikan, kita mahu yang terbaik dan memerlukan dana besar. Keutamaan kepada kementerian ialah memastikan proses penyaluran (peruntukan terbesar dalam belanjawan ini) akan dipantau kerana tidak mahu berlaku ketirisan."

“Ada beberapa dasar yang boleh membantu kita walaupun di luar belanjawan ini iaitu pelepasan cukai kepada pemberi sumbangan kepada sekolah dan ‘endownment’ kepada universiti."

“Jadi kita mengharapkan masyarakat dapat bersama kita untuk membangunkan pendidikan itu sendiri."

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man:

"Kita dapati keseluruhan kawasan wilayah Sabah dan Sarawak sangat baik dan bantuan kepada petani dan nelayan nampaknya kali ini dia beri perhatian tetapi dalam konteks pembangunan wilayah seperti Pantai Timur sangat mengecewakan.

"Negeri Pahang ada satu projek pelabuhan, di Terengganu hanya projek untuk sebuah sekolah Perlis, negeri-negeri ini masih lagi dianggap miskin masih lagi tidak ada sebarang peruntukan besar kecuali Sabah dan Sarawak.

"Saya rasa belanjawan kali ini hanya menumpukan pembangunan di Pantai Barat (iaitu) negeri-negeri dah maju tanpa beri perhatian kepada Pantai Timur."

Bekas perdana menteri Najib Razak:

"Dulu, rumah dibina di Forest City akan dibeli orang asing. 700,000 warga Cina dibawa masuk.

"Kini, apa salahnya jual rumah di seluruh negara kepada orang asing? Boleh menyelesaikan masalah pemaju.

"Guan Eng senyap di tepi je.

"Dengan pengumuman hari ini, warga asing hanya perlu beli hartanah bernilai RM600,000 sahaja untuk layak duduk di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin:

"Pada keseluruhannya saya fikir bajet ini, bajet yang cukup baik, yang meliputi semua bidang, sebagaimana yang dimaksudkan dibawah Wawasan Kemakmuran Bersama, dan memberi ruang yang agak luas kepada semua kumpulan dalam masyarakat kita, samada yang di bandar, di luar bandar, yang miskin, orang muda, dan sebagainya.

"Ini bukti yang jelas bahawa pihak kerajaan Pakatan Harapan prihatin tentang semua golongan dalam masyarakat kita, dan kita harap dengan bajet yang akan dilaksanakan tahun depan akan memberikan banyak faedah pada semua peringkat masyarakat di negara kita.

"Ya (peruntukan kebajikan polis) itu memang yang kita harapkan, kerana sejak sekian lama mereka dah menunggu. 

"Memang pada waktu lepas tidak banyak yang diberikan perhatian, tetapi kita berikan perhatian utama dalam soal kebajikan mereka, supaya dengan itu, mutu perkhidmatan, semangat bekerja itu akan lebih baik lagi. Ini yang kita harapkan untuk tahun ini dan tahun akan datang."

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu:

Tuntutan kami lebih daripada itu, walaubagaimanapun berlaku kenaikan 12 peratus, khususnya kebajikan tentera, iaitu rumah (Rumah Keluarga Angkatan Tentera) RKAT meningkat daripada RM120 juta kepada RM150 juta, dan pertama kali bayaran one off RM500, yang diumumkan dalam belanjawan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan juga yang tidak berpencen, ini pertama kali, walaupun tuntutan kami lebih tinggi daripada itu.

Saya amat menghargai semoga tahun depan peruntukan akan lebih besar kepad tentera kita yang berjasa.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad:

"KKM akan menggunakan peruntukan berkenaan bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar, golongan miskin bandar dan Orang Asli."

"Ia juga akan membawa penjagaan kesihatan primer dari hospital kembali kepada komuniti, rumah pesakit dan individu khususnya kepada golongan B40, Orang Asli dan rakyat di kawasan pedalaman."

Bekas menteri dan MP Umno, Ahmad Maslan:

"Sekitar 9 ribu buah SK/ SM Kebangsaan diberi RM300 juta hanya RM30,000 lebih sebuah.

"Jumlah semua sekolah 10,208 SM Persendirian Cina diberi RM15 juta untuk sekitar 60 buah bermakna RM250 ribu sebuah Adilkah #Bajet2020 ini?"

"Patut diberi RM250,000 juga untuk sebuah SK/SM Kebangsaan"

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun:

Menjurus kepada keperluan rakyat, untuk luar bandar tadi banyak yang dibentangkan antaranya projek skim kesejahteraan rakyat yang naik daripada RM207 juta kepada RM280 juta yang sudah tentu akan memberi lebih nikmat kepada rakyat luar bandar itu merangkumi perumahan rakyat termiskin, untuk peningkatan pendapatan

Bantuan pelajaran Mara RM2 bilion dan RM1.3 bilion untuk institut Mara sendiri yang semestinya untuk Bumiputera dan juga masyarakat luar bandar

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali:

"Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat merupakan langkah pertama ke arah merealisasikan objektif dan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

"Belanjawan yang dibentangkan merupakan komitmen Kerajaan untuk merapatkan kesenjangan ekonomi antara kelas pendapatan, kumpulan etnik dan wilayah."

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh:

"Taska di tempat kerja kita dapat RM30 juta untuk belanjawan 2020, ini tiga kali ganda dari apa yang kita dapat tahun ini, jadi bajet ini saya lihat sememangnya sangat mesra wanita, kanak-kanak, terumatanya vaccination RM60 juta, itu dalam manifesto kita."

"Saya suka sangat tanda pagar Malaysiakerja kerana kita nak tukar tabiat, cara fikir dan budaya, supaya kalau anda kerja, kerajaan akan bantu, yang itu sangat penting."

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa:

"Lucu melihat MP bertepuk bila umum RM700 juta untuk baiki sekolah daif tanpa memahami pada zaman BN di beri tiga kali ganda lebih tinggi."

"Begitu juga bila diumum RM50 juta untuk sekolah-sekolah dan MRSM tanpa sedar di seludup RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina yang tidak pun mengikuti dasar pelajaran kebangsaan."

"Hanya tiga empat ayat untuk kemajuan Islam dalam bajet Lim Guan Eng.

Pemimpin Umno dan bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein:

"Kecewa saya dengan pembentangan #Belanjawan2020 khususnya untuk sektor pertahanan. Tiada langsung perincian berhubung apa inisiatif yang akan mereka laksanakan. Saya tidak bimbang soal peruntukan, tetapi saya nak tahu apa inisiatif yang Kementerian Pertahanan Malaysia akan laksanakan untuk perkukuhkan keselamatan negara.

"Nampaknya kita masih perlu tunggu Kertas Putih Pertahanan yang entah bila akan dibentangkan. 10 Januari Mat Sabu cakap nak bentang September. 29 Januari - beliau cakap nak bentang Julai. Julai - beliau ubah pula cakap nak bentang pada sidang parlimen akan datang.

"Ogos - beliau cakap nak bentang November. Dan baru-baru ni - beliau cakap nak bentang selepas Bajet 2020. Jadi, sebenarnya bila?"

Dewan Pemuda Ikatan:

"Jika kita bandingkan Belanjawan 2018 sewaktu Kerajaan barisan Nasional, jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM 282.3 Bilion, jauh lebih kecil daripada Belanjawan 2020, tetapi lebih ramai rakyat menikmati kesannya.

"Cukai Digital yang diperkenalkan mulai 1 Januari 2020 bakal merencatkan perkembangan industri digital di Malaysia, termasuk usahawan anak muda yang sememangnya cenderung ke arah industri digital."

"Kerajaan dilihat terdesak memungut cukai hingga mahu mengambil cukai terhadap perkara bukan fizikal atau perkara maya."

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin:

"Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki yang bertujuan membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah."

"Pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion."

“Di bawah program berkenaan, kerajaan akan memberi pengeculian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik antara pemaju, institusi kewangan dan pembeli."