Isu LTTE: Salah tetap salah, tak salah jangan aniaya - Timb presiden MIC
Susulan daripada beberapa individu yang ditahan atas dakwaan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata sekiranya dibuktikan bersalah, seseorang itu perlu menjalani proses mengikut undang-undang.
Ini kerana katanya, ia melibatkan soal keselamatan negara.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju jika mereka dianiaya sedemikian jika tidak terbukti mereka melakukan kesalahan tersebut.
“Yang bersalah tetap bersalah, yang tidak bersalah jangan menganiaya.
“Kalau ada bukti, ikut sistem perundangan sedia ada,” katanya lapor Sinar Harian.
Pada 11 Oktober, tujuh individu termasuk dua Adun DAP ditahan dalam operasi polis Bukit Aman disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana melibatkan LTTE.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis mempunyai 28 hari untuk menjalankan siasatan terhadap ketujuh-tujuh mereka dan tidak menolak kemungkinan terdapat lagi individu yang akan ditahan bagi membantu siasatan.
LTTE ditubuhkan pada 1976 sebagai maklum balas terhadap dasar diskriminasi etnik Tamil oleh kerajaan Sri Lanka yang didominasikan etnik Sinhalese.
Perjuangan LTTE untuk kemerdekaan wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka telah membawa kepada perang saudara yang berlanjutan selama 26 tahun.
Perang saudara itu berakhir pada 18 Mei 2009 apabila pemimpin LTTE Velupillai Prabhakaran terbunuh dalam serangan tentera Sri Lanka.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik kedua-dua pihak dalam konflik hampir tiga dekad yang mengorbankan paling kurang 100,000 nyawa itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai