Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu e-hailing dalam proses lengkapkan lesen akan dipertimbang - Loke

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Pengangkutan hanya mempertimbangkan pemandu e-hailing yang dalam proses melengkapkan peraturan e-hailing, susulan penguatkuasaannya, hari ini.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya masih memberikan peluang kepada pemandu e-hailing yang sudah mengambil langkah untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) namun masih belum selesai.

“Kita sudah mulakan penguatkuasaan dan saya sudah kata beberapa hari lepas kita ambil pendekatan beransur-ansur, kita juga bagi masa dan ruang secukupnya selagi mereka sudah duduki peperiksaan PSV atau sudah ambil langkah untuk ambil PSV, kita tiada masalah untuk beri peluang kerana mungkin ada proses yang belum selesai,” katanya selepas merasmikan Stesen KTM Komuter Nilai, di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata meskipun penguatkuasaan sudah bermula hari ini, namun pihaknya masih menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara berperingkat dan bukannya melalui operasi besar-besaram.

“Jadi tidaklah bermaksud anggota Jabatan Pengangkutan Jalan akan pergi pada setiap satu kereta dan tahan setiap pemandu,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Khairul Anuar Bachok, berkata JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing yang tidak melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan, sebaik penguatkuasaan mula dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, Loke menyeru golongan belia untuk hadir ke Karnival Kerjaya dan Pendidikan 2019 yang berlangsung pada 19 dan 20 Okt ini di Palm Mall, Seremban untuk merebut peluang kerjaya dalam bidang pengangkutan.

“Karnival ini buat julung kalinya diadakan melibatkan 40 majikan dengan peluang pekerjaan sebanyak 4,000 melibatkan profesion kejuruteraan dalam pengangkutan termasukdi pelabuhan kita perlukan ramai anggota dan pegawai operasi untuk kawal pelabuhan dan kontena,” katanya.

- Bernama