Skip to main
Logo Malaysiakini

Maqis mahu anggota dibekalkan senjata api

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah membuat permohonan untuk memperoleh lesen senjata api bagi anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Ketua Setiausaha kementerian, Mohd Sallehuddin Hassan berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai perkara itu.

"Nampak gayanya permohonan senjata ini akan diluluskan. Saya sendiri akan mendapatkan bajet khusus untuk perkara ini termasuklah latihan pengendalian senjata api dalam kalangan anggota Maqis," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Inovasi Maqis 2019 dan pelancaran Buku Laporan Tahunan dan Pelan Strategik Maqis 2019-2021 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Maqis Saiful Yazan Alwi di Ipoh, hari ini.

Maqis berperanan menjaga biosekuriti dan produk makanan yang diimport adalah selamat untuk rakyat di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sallehuddin berkata pihak kementerian kini dalam peringkat akhir untuk meminda Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) bagi menambah baik perkhidmatan Maqis.

Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan draf pindaan akta itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan secara menyeluruh sebelum dibentangkan ke kabinet dan Dewan Rakyat tahun depan.

"Sebenarnya akta ini telah dibuat pada 2011 tetapi ada banyak perkara tidak lengkap pada waktu berkenaan, jadi kita mahu masukkan lagi mana-mana kekurangan secara lebih komprehensif yang dipersetujui secara dasar di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti- Rasuah.

"Pindaan akta ini memakan masa kerana melibatkan pelbagai pihak dan kita juga perlu membuat penilaian kesan risiko yang melibatkan golongan sasar," katanya.

- Bernama