Skip to main
Logo Malaysiakini

Dera tahanan: Polis siasat dakwaan Suaram

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dakwaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bahawa seorang bapa dan anak lelakinya ditahan secara salah, diseksa dan didera dalam tahanan polis di Kangar, Perlis.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador turut menggesa Suaram untuk tampil dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

“Selalunya dakwaan sebegini, sebelum laporan polis dibuat, pihak dalaman secara automatik akan ambil siasatan awal.

“Siasatan dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan itu memang prosedur operasi standard (SOP)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat PDRM 2019 di Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, Suaram mendakwa seorang bapa dan anak lelakinya telah berada dalam tahanan dari 21 hingga 25 September di Kangar.

Malah Suaram turut mendakwa bahawa polis telah gagal melakukan siasatan sebelum menangkap kedua-dua individu terbabit.

- Bernama