Belon helium meletup di Putrajaya, cederakan 16 termasuk kanak-kanak
Seramai 16 orang termasuk kanak-kanak melecur apabila belon helium yang menjadi 'prop' untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya di Putrajaya hari ini meletup.
Mereka yang terjejas dalam insiden 11.30 pagi itu melibatkan sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berumur antara empat dan 30-an yang antaranya adalah peserta dan pengunjung ke program kecergasan Kementerian Pendidikan hari ini.
Mereka kini dirawat di Hospital Putrajaya dan ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan, kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang dewasa yang cuba memutuskan benang ikatan belon dengan pemetik api yang kemudiannya menyambar belon helium berkenaan.
"Polis menjumpai pemetik api yang disyaki di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas program kecergasan itu selesai kira-kira 11 pagi iaitu sewaktu untuk "berkemas-kemas".
Program kecergasan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada sebelah pagi berjalan lancar. Pada program itu, Teo turut mengambil bahagian melakukan aktiviti kecergasan.
Rosly berkata sehingga kini, masih belum ada pihak tampil untuk membuat laporan berhubung insiden itu.
Beliau berkata wakil penganjur atau mangsa boleh membuat laporan untuk membolehkan polis memulakan siasatan.
"Setakat ini belum ada sesiapa yang ditahan untuk siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan berkata tiada mangsa yang kritikal.
"Mangsa mengalami luka terbakar tahap pertama dan tahap kedua. Kecederaan yang dialami mangsa berbeza ada yang dikening, rambut dan tangan. Tidak ada yang cedera satu badan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melawat mangsa di Hospital Putrajaya, sejurus selepas menghadiri satu program sempena Hari Kanak-kanak 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya berhampiran.
Dr Wan Azizah yang menerima perkhabaran tersebut pada program itu berkata beliau sedih mendengar insiden itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai