Hari 21: Perbicaraan esok bermula petang
LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan tuduhan salah guna dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion memasuki hari ke-21 dan akan bermula sekitar jam 2.00 petang ini.
Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:
5.04 petang: Hakim menetapkan perbicaraan hari ini ditangguhkan sehingga ke jam 2.30 petang esok.
Mengikut jadual awal ia sepatutnya diadakan pada 9.30 pagi tetapi tertuduh, Najib Razak, perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat, manakala pasukan pembelaannya harus menghadiri prosoding rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan.
Permohonan untuk melewatkan perbicaraan esok dikemukakan ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, kepada Collin Lawrence Sequerah.
Dengan pengesahan daripada ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, Shafee memberitahu Sequerah, bahawa mereka perlu ke Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan mendapatkan kebenaran mencabar pelantikan Gopal sebagai timbalan pendakwa raya.
Shafee juga memberitahu mahkamah, sebagai anggota parlimen Pekan, Najib perlu hadir ke Dewan Rakyat untuk membahaskan Belanjawan 2020.
"Anak guam saya memberitahu beliau mungkin boleh meninggalkan Dewan Rakyat (untuk menghadiri perbicaraan) menjelang jam 2.30 petang," katanya.
4.25 petang: Seorang pegawai 1MDB didakwa menghalang kakitangan Jabatan Audit Negara membuat salinan dokumen syarikat itu pada 2010.
Berdasarkan sepucuk surat ditulis jabatan tersebut kepada Shahrol Azral Ibrahim Halmi (ketika itu menjadi ketua pegawai eksekutif 1MDB), ia berlaku ketika juruaudit melakukan tugas mereka pada Okt 2010.
Shahrol yang memberi keterangan sebagai saksi kesembilan pendakwaan memberitahu mahkamah, dia dimaklumkan oleh Jho Low supaya "sangat berhati-hati" dengan maklumat yang mungkin bocor dari syarikat itu.
Ia, kata Shahrol, termasuklah memastikan tiasa salinan dokumen 1MDB dibuat.
Terdahulu ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mencadangkan kepada Shahrol bahawa Jho Low mengendalikan 1MDB mengikut kehendak hatinya.
Namun Shahrol tidak bersetuju dengan saranan Shafee.
Shafee: Jadi Jho Low melayan 1MDB macam 1MDB tu syarikat datuk dia. Dokumen-dokumen semuanya sulit. Macam bukan syarikat MOF Inc. Jho Low cakap dan kamu ikut.
Shahrol: Jho Low menyampaikan kepada saya arahan-arahan daripada pemegang saham.
Shafee: Dan semua ini kamu ikut arahan Jho Low?
Shahrol: Kami mengikut arahan pemegang saham.
Shafee: Tanpa kamu bertemu pemegang saham?
Shahrol: Ya.
Untuk rekod, pemegang saham yang dirujuk Shahrol ialah Najib kerana dengan kedudukannya sebagai menteri kewangan, beliau adalah pemegang saham khas 1MDB.
Bekas CEO 1MDB: Surat untuk sekat dokumen sulit 1MDB atas arahan Jho Low.
3.30 petang: Mahkamah diberitahu oleh bekas CEO 1MDB bahawa dia menulis surat pada bulan Julai 2010 kepada perdana menteri ketika itu yang juga menteri kewangan, Najib Razak, berhubung sekatan maklumat sulit syarikat itu kepada pihak ketiga.
Menurut Shahrol Azral Ibrahim Halmi, surat itu menyatakan semua maklumat sulit mengenai 1MDB, hanya akan dikeluarkan kepada pihak ketiga hanya setelah diluluskan oleh lembaga penasihat dan mendapat sokongan Najib.
Ini berlaku kira-kira seminggu selepas satu lagi surat oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Wan Abdul Aziz Wan Abdullah menyatakan Najib bersetuju Usaha Wajar (Due Diligence) dan audit dijalankan ke atas 1MDB oleh Jabatan Audit Negara.
Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, beliau menulis surat itu berdasarkan arahan Jho Low, dan percaya arahan untuk menyekat maklumat sulit itu datang dari Najib.
Saksi itu juga bersetuju bahawa dia tidak pernah memeriksa dengan Najib sama ada arahan dari Jho Low itu benar-benar datang daripadanya (Najib).
Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah kemudian bertanya Shahrol sama ada beliau tidak mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan apa yang Jho Low arahkan kepadanya sedangkan sedar bahawa ada usaha untuk menjalankan siasatan ke atas 1MDB.
"Sebabnya ini. 1MDB hanya menerima RM4.3 bilion, daripada RM5 bilion bon IMTN. Ini dimainkan sebagai satu isu oleh pembangkang pada masa itu. Jadi saya percaya Jho (Low) apabila dia kata sekatan terhadap audit untuk melindungi kepentingan politik perdana menteri."
Hakim tegur ketawa mengejek
3.19 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah menegur perbuatan ketawa mengejek yang datang dari suara wanita di galeri awam.
Ketawa mengejek itu timbul ketika bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberikan keterangan.
Shahrol dalam keterangannya berkata pada tahun 2010, Perdana Menteri Najib Razak bersetuju melakukan audit tetapi kemudian didakwa berubah fikiran dan didakwa melalui Jho Low memberitahu saksi itu agar menulis surat mengenai perkara itu.
Ketawa itu terhenti tiba-tiba apabila DPP Gopal Sri Ram berdiri dan membantah gangguan berkenaan sambil mengatakan orang ramai di galeri awam tidak boleh berbuat demikian semasa perbicaraan.
Sequerah: Dari mana bunyi ketawa tadi? Polis, sila waspada (untuk menahan orang yang ketawa itu).
Jho Low ingatkan bekas CEO 1MDB agar lebih waspada
3.06 petang: Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Jho Low memberitahunya pada tahun 2010 agar lebih waspada dengan sebarang maklumat yang dikumpulkan terhadap sebarang Usaha Wajar (due diligence atau siasatan) agar tidak digunakan terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas petang ini.
Peguam utama Najib itu bertanya saksi ke-9 itu sama ada terdapat ketegangan pada tahun 2010 apabila Jabatan Audit Negara berpendapat 1MDB sepatutnya diaudit, manakala dana kekayaan negara berdaulat itu pula berpendapat sebaliknya.
"Saya tidak ingat apa-apa ketegangan. Apa yang saya ingat diberitahu oleh Jho (Low) agar kami lebih waspada, kurangkan maklumat yang dikumpul semasa Due Diligence agar tidak digunakan terhadap Najib," kata Shahrol.
2.10 petang: Perbicaraan bermula. Najib dilihat memasuki kandang tertuduh.
Khamis lepas, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gopal Sri Ram memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau perlu menghadiri kes berasingan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada pagi ini, sebelum boleh menghadiri perbicaraan.
Kebetulan, prosiding Khamis lepas juga hanya berlangsung setengah hari apabila saksi-9 yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengadu tidak sihat, yang menyebabkan perbicaraan ditangguhkan lebih awal.
Apabila prosiding disambung semula petang ini, peguam utama Najib Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap Shahrol yang merupakan CEO 1MDB dari tahun 2009 hingga 2013 dan saksi pendakwaan ke-9.
Shafee dijangka menyambung semula soalan yang tertangguh minggu lepas, yang mana Shahrol memberi keterangan bahawa ketua pegawai pelaburan 1MDB Vincent Koh telah dibawa ke syarikat itu atas syor pegawai eksekutif pembangunan perniagaan Casey Tang, yang merupakan sekutu kepada ahli perniagaan dikehendaki Low Taek Jho, atau Jho Low.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai