Bicara 1MDB tangguh, Najib perlu berucap di parlimen - Shafee
KES 1MDB NAJIB | Pendengaran kes jenayah 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak ditangguhkan ke hari esok kerana MP Pekan perlu berada di parlimen untuk menyampaikan ucapannya.
Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah Najib sepatutnya berucap antara jam 11 pagi ke 12 tengah hari tadi semasa perbahasan Belanjawan 2020.
Menurut Shafee, slot Najib dan enam lagi MP BN dijadualkan pada pagi tadi tetapi terpaksa ditunda bagi memberi ruang anggota parlimen lain berucap, termasuklah Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga MP Port Dickson.
"Beliau sedang membangkitkan isu-isu yang sangat kritikal di parlimen hari ini dan telah bersedia sejak dua minggu yang lalu.
"Tidak mudah untuk mendapatkan 20 hingga 30 minit (slot) ucapan kecuali kamu mencelah (ketika) perbahasan belanjawan, "kata Shafee.
Menurut Shafee, slot Najib serta enam anggota parlimen BN yang lain sepatutnya berlangsung pada waktu pagi tadi.
Bagaimanapun, katanya slot itu telah diamabil alih oleh ucapan ahli parlimen lain, termasuk presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson.
Peguam itu mendakwa Najib sebelum ini membuat permohonan kepada speaker Dewan Rakyat untuk meletakkan jadualnya berucap pada jam 4.30 petang, supaya dia boleh menghadiri perbicaraan tetapi permintaan tersebut tidak dipenuhi.
"Dia membuat permohonan di parlimen dua minggu lalu tetapi dia tahu slotnya (berucap hari ini) sehari sebelum saya memberitahu Yang Arif.
"Jika tidak, dia akan memohon kepada Yang Arif lebih awal (untuk mengosongkan sesi pendengaran hari ini)," jelasnya.
Semalam, Shafee telah memohon kepada mahkamah untuk sesi hari ini bermula pada sebelah petang kerana beliau terpaksa berada di Mahkamah Persekutuan pada waktu pagi atas urusan lain.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa Najib perlu hadir di parlimen untuk menyampaikan ucapan pada hari ini, yang dijadualkan pada pukul 11 pagi tadi.
Sementara itu, timbalan pendakwa raya utama Gopal Sri Ram membantah permohonan oleh pihak pembela untuk menangguhkan pendengaran hari ini.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa Najib tidak mempunyai alasan yang mencukupi untuk tidak menghadirkan diri di dalam perbicaraannya hanya kerana beliau tidak dapat melepaskan slotnya (berucap) di parlimen.
"Sekiranya ada sebab lain (untuk tidak hadir di parlimen maka perbicaraan) ini adalah sebab yang baik," kata Gopal.
Menurut Gopal, pihak pendakwaan juga telah membawa saksi-saksi lain untuk bersedia bagi memberi keterangan, kerana mereka tidak pasti bila pembelaan akan menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan, bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Untuk rekod, hari ini sepatutnya menjadi hari ke-22 perbicaraan 1MDB terhadap Najib, dengan Shahrol dijangka menyambung kembali keterangannya di bawah pemeriksaan balas oleh Shafee.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai