Peralihan kuasa: Kenyataan terselindung Anwar, MP BN cetus lagi tanda tanya
PARLIMEN | Anggota Parlimen BN hari ini berulang kali mengusik Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung ketidaktentuan dalam soal beliau menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Seperti dijangka, anggota parlimen Port Dickson itu mengulang jawapan sama yang sering disebutnya berkenaan perkara itu.
Tetapi apa yang menimbulkan tanda tanya ialah isyarat yang disebut kedua-dua Anwar dan anggota parlimen BN, yang membayangkan ada usaha di belakang tabir untuk mngumpul sokongan anggota parlimen untuk menyokong, dan juga menghalang, peralihan kuasa itu.
Ketika perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Anwar dicelah oleh Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bertanya tentang peralihan kuasa.
"Ini soalan sensitif sedikit. Apakah soal penggantian telah selesai?" soal pengerusi Umno Perlis itu.
Anwar kemudian mengulangi jawapannya yang pelan itu bukan sekadar antara dirinya dengan Mahathir, tetapi melibatkan semua pemimpin Pakatan Harapan (PH). Beliau juga berkata satu perjanjian telah dimeterai pada Januari tahun lalu untuk Mahathir menyerahkan kuasa kepadanya.
Bagaimanapun Anwar secara sepintas lalu menyebut bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak menandatangani dokumen itu.
"Ditandangani oleh semua pimpinan... Tetapi tidak ditandatangani presiden Umno - bukan tidak, (tetapi) belum," katanya sambil ketawa.
Ia agak ganjil kerana jika Anwar merujuk kepada dokumen PH berkenaan peralihan kuasa, ia tidak melibatkan Zahid, justeru menimbulkan persoalan sama ada beliau memaksudkan perjanjian rahsia yang lain.
Isyarat tidak langsung itu kemudian menjadi kian jelas apabila perbahasan diteruskan.
Anwar: Jangan tunduk pada ugutan
Noh Omar (BN-Tanjung Karang) kemudian bangun dan bertanya sama ada perjanjian PH itu menyebut tarikh khusus untuk peralihan kuasa. Anwar kemudian menjawab ia tidak ditetapkan.
"Tetapi dalam perbincangan, ada bincang setahun, ada bincang maksimum dua tahun. Tetapi ini melibatkan keputusan pimpinan PH, bukan keputusan saya seorang atau Langkawi (Mahathir).
"Jadi kawan-kawan tolonglah, bagi saya sudah selesai. InsyaAllah," katanya lagi.
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kemudian cuba untuk mencelah. Namun sebelum sempat beliau berbuat demikian, Anwar berkata: "Saya harap kalau Kinabatangan tanda tangan, sign ke arah (pihak) ini, jangan sign yang lain."
Anwar kemudian menyebut tentang satu rancangan oleh Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) dan menasihat anggota parlimen agar tidak takut dengan ancaman dihadapkan dengan pendakwaan.
Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan dengan lebih lanjut.
"Ini masalahnya nak ikut sangat Sembrong...Semua karut.
"Semua ini kadang-kadang nak survive diri, nak tutup siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Kita tak mahu itu.
Politik ini bukan kerana ugutan, mesti ada prinsip, sama ada didakwa di mahkamah atau diugut masuk penjara, prinsip jangan digadai. Beritahu Sembrong," katanya.
Bung Moktar, yang kini berdepan dakwaan rasuah melibatkan dana Felcra, kemudian berkata beliau ahli politik seperti itu.
Ia diikuti dengan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang menyuarakan kerisauan terhadap nasib Anwar apabila "perkara itu dilakukan".
"Langkawi sebut sebelum PRU ke-15. Ada sekali dia sebut (ketika wawancara) di luar negara (akan letak jawatan) ababila masalah besar selesai, apabila hutang negara selesai.
"Saya khuatir Port Dickson hanya jadi 'PM tepi' apabila perkara itu dilakukan," katanya.
Shahidan pula mencadangkan agar Anwar menyelesaikan perkara itu secara baik dengan Mahathir.
"YB duduk bincang dengan Langkai, selesaikan dan lepas itu jabat tangan...itu yang terbaik," katanya.
'Perlu sokongan semua jika jadi PM'
Bagaimanapun pertelingkahan tercetus apabila Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) mendakwa Shahidan membuat sindiran terhadap Anwar dan mendesaknya berhenti, dan berkata Dewan Rakyat bukan tempat untuk membincangkan perkara itu.
Shahidan membalas: "(Kalau) saya kata kamu bodoh, kamu marah. Saya selesaikan masalah presiden (anda), dia faham bahasa saya, kami orang utara," katanya.
Ketika itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof memberitahu Anwar bahawa masa berbahasnya tinggal dua minit dan memintanya menyimpulkan perbahasan.
Anwar menegaskan tiada perubahan dalam pelan peralihan kuasa.
"Saya harap tiada lagi percubaan ganggu gugat dari pembangkang. Seperti Kinabatangan beri jaminan, Bagan Datuk (Zahid) pun angguk, maka selesailah masalah kita," katanya lagi.
Shahidan kemudian berseloroh, "Jadi YB tak perlukan kami?", merujuk sokongan daripada pihaknya.
"Ini politik ugut," kata Willie tetapi Anwar hanya membalasnya dengan ketawa.
"Saya manusia kerdil, yang berhempas pulas dengan puluhan tahun senang susah. Jika ditakdirkan saya mentadbir, saya memerlukan dukungan semua pihak agar negara ini membangun," katanya.
Beliau juga mengakui ramai pihak bertanya tentang peralihan kuasa kepada menteri-menteri kabinet, tetapi tidak setuju dengan tarikh peralihan yang khusus diberi kerana ia akan memberi kesan kepada kedudukan perdana menteri sekarang.
Kenyataan-kenyataan tersirat ini di saat cakap-cakap tentang satu kumpulan dalam Umno mungkin sedang bekerjasama dengan pihak dalam PH, termasuk PKR, untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
Kem Anwar juga dikatakan cuba meraih sokongan daripada kedua-dua pihak - kerajaan dan juga pembangkang - untuk itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai