SPRM terima 20 laporan rasuah, salah guna kuasa libatkan kehakiman
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 20 laporan rasuah dan salah guna kuasa terhadap hakim dan pegawai kehakiman setakat Ogos 2019, kata ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya.
Latheefa berkata, hakim yang disebut dalam laporan tu melibatkan peringkat mahkamah yang lebih rendah, termasuk hakim yang sudah ada sejumlah laporan terhadapnya sebelum ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada laporan dibuat oleh orang awam atau pemberi maklumat dari dalam institusi kehakiman sendiri.
"Saya tak boleh beritahu (sudah buka kertas siasatan atau belum). Apabila kita sudah sedia nak reman dan buka kertas siasatan, kita akan maklumkan secara umum.
"Tetapi jika kita nak buat pendakwaan, kita akan umumkan (kepada awam)," katanya ketika ditanya pemberita berkenaan perkara itu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Integriti anjuran pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam ucapannya sebelum itu, Latheefa mengumumkan laporan yang diterima SPRM berkenaan hakim dan kehakiman merupakan perkara yang membimbangkan.
Katanya, SPRM telah mula mengadakan pemantauan dan mengambil tindakan yang perlu.
Sementara itu, Latheefa juga ditanya tentang perkembangan sejumlah kes sebelum ini, terutama siasatan SPRM terhadap PAS kerana didakwa menerima RM90 juta daripada Umno dan seorang pemimpin PAS yang didakwa menerima RM3.5 juta.
Mengulas perkara itu, Latheefa berkata beliau masih dalam proses meneliti kes-kes SPRM, dan telah melakukannya setelah menjadi ketua pesuruhjaya sejak Jun lalu.
"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setelah dilantik saya dalam proses melihat senarai kes, untuk melihat semula status kes tersebut. Ada yang dikatakan melibatkan kepentingan awam, ada libatkan orang kenamaan.
"Saya perlu lihat semula kes-kes tersebut. Ada yang mungkin sudah di peringkat untuk didakwa. Jadi kita tunggu dan lihat," katanya yang dahulu peguam hak asasi manusia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai