Skip to main
Logo Malaysiakini

Cuba ajak Malaysia kerjasama hasilkan vaksin - duta

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Cuba yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang bioteknologi menawarkan untuk berkongsi ilmu termasuk dalam bidang penghasilan vaksin dengan Malaysia, kata Duta Cuba ke Malaysia Ibete Fernandez Hernandez.

Beliau berkata kedua-dua negara boleh berganding bahu menghasilkan vaksin pneumococcal di Malaysia susulan pengumuman kerajaan untuk memulakan penvaksinan pneumococcal kepada semua kanak-kanak tahun depan di bawah Belanjawan 2020.

"Ini adalah sesuatu yang boleh kita terokai bersama. Ia boleh dilakukan. Apa yang kita perlukan ialah kemahuan politik," katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Institut Finlay Cuba adalah pengeluar vaksin cacar, tifoid, tetanus, rabies dan tuberkulosis.

Menurut pakar Malaysia, vaksin pneumococcal yang ada di pasaran Malaysia ialah PCV13 keluaran Pfizer dan PCV10 keluaran GlaxoSmithKline.

Sementara itu, Hernandez berkata hubungan dua hala dengan Malaysia telah terjejas akibat sekatan ekonomi, komersial dan kewangan oleh Amerika Syarikat.

"Perdagangan dua hala kita tidak besar namun buat masa ini, ia hampir sifar," katanya.

Duta itu turut mengulangi kemungkinan perdagangan barter antara Cuba dan Malaysia, meskipun mengakui bahawa ia mungkin sukar dan kompleks untuk dilakukan.

"Kami masih membeli barangan dari Malaysia, sebagai contoh, minyak sawit. Namun untuk berbuat demikian, kami menggunakan negara ketiga. Kami membeli minyak sawit yang Malaysia jual kepada Eropah," katanya.

EU adalah rakan kongsi dan pelabur perdagangan utama Cuba.

-Bernama