Pahang akan warta 8,571 hektar lagi tanah rizab Orang Asli
Kerajaan Pahang dalam proses mewartakan tanah seluas 8,571 hektar sebagai Tanah Rizab Orang Asli, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata jumlah itu ialah tambahan kepada 7,156 hektar tanah yang telah diwartakan setakat ini selain 8,958 hektar tanah yang sudah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Usaha ini adalah salah satu bantuan untuk kebajikan masyarakat Orang Asli, terutamanya di Pahang yang mempunyai jumlah Orang Asli paling ramai di Semenanjung Malaysia.
"Di Pahang, jumlah Orang Asli ialah seramai 89,375 orang atau 45.1 peratus daripada jumlah keseluruhan golongan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Iskandar di Bera, hari ini.
Pada program itu, Wan Rosdy juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada penduduk di Pos Iskandar yang terdiri daripada suku kaum Semelai.
Wan Rosdy berkata kebajikan masyarakat Orang Asli terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan termasuk dalam kemudahan infrastruktur.
Sebagai contoh, Wan Rosdy merujuk kepada pembinaan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) bagi penempatan masyarakat Orang Asli dengan tujuh daripadanya terletak di Pahang termasuk Pos Iskandar.
"RPS juga membolehkan masyarakat Orang Asli dihimpunkan di satu kawasan yang lebih lengkap dari segi insfastruktur selain membolehkan mereka terlibat dalam kegiatan ekonomi seperti pertanian kelapa sawit atau getah," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai