Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari 22: Nama syarikat nampak janggal, kata saksi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.28 bilion dana 1MDB ditetapkan bersambung lagi hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung prosiding mahkamah.


4.45 petang: Mahkamah ditangguhkan hakim Collin Lawrence Sequerah dan akan bersambung jam 9.30 pagi esok.


4.30 petang: Mahkamah diberitahu perjanjian kerjasama 1MDB dengan sebuah entiti asing menyebabkan syarikat milik Kementerian Kewangan itu kerugian AS$1 bilion pada 2009.

Kerjasama itu, kata Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dimeterai walaupun dia melihat ada kejanggalan pada nama syarikat yang luar berkenaan.

Kata bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu, nama syarikat yang tertera pada dokumen persetujuan itu ialah PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd tetapi entiti yang berurusan dengan mereka sebelum ini ialah PetroSaudi International Ltd.

Saksi kesembilan pendakwaan itu menambah dia menurunkan tandatangan pada dokumen itu selepas berunding dengan pengarah eksekutif 1MDB ketika itu, Casey Tang, yang bertanggungjawab menguruskan kerjasama tersebut.

"Pada ketika itu Casey Tang menjelaskan PetroSaudi Holdings (Cayman) adalah anak syarikat milik penuh PetroSaudi International," katanya.

Bersetuju dia percaya sepenuhnya kepada kata-kata Tang ketika itu, Shahrol juga mendakwa dia tidak mendapatkan pandangan bertulis daripada penasihat undang-undang 1MDB, Wong and Partners, kerana Tang bekerja dengan firma berkenaan.

"Casey kata, OK untuk saya tandatangan," katanya.


4.10 petang: Mohd Bakke Salleh pernah mengarahkan setiausaha syarikat 1MDB untuk tidak merekodkan panggilan telefon daripada Najib Razak semasa bermesyuarat bagi menentukan langkah syarikat itu sama ada meneruskan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd atau tidak.

Bercakap semasa disoal balas peguam bela Najib, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah arahan itu dibuat Mohd Bakke - ketika itu bertugas sebagai pengerusi 1MDB - selepas beliau menerima panggilan telefon daripada anggota parlimen Pekan berkenaan semasa bermesyuarat pada 26 Sept 2009.

"Saya masih ingat Bakke meminta agar ia tidak direkodkan (dimasukkan dalam minit mesyuarat)," katanya.

Saksi kesembilan pendakwaan itu juga menegaskan, dia mencadangkan agar mesyuarat itu dirakamkan secara audio tetap tidak dipersetujui Mohd Bakke.


3.30 petang - Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Jho Low ibarat pengarah (konduktor) sebuah orkestra yang mana setiap pemuzik tidak perlu tahu apa peranan yang dilakukan pemuzik lain. 

Bekas CEO 1MDB itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah. 

Shahrol menjawab soalan Shafee sama ada saksi kesembilan itu bersetuju atau tidak bahawa Jho Low adalah ketua manipulator, seperti yang dijelaskan oleh saksi kelapan dan bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin.

"Bahagian yang sangat jelas kepada saya ialah dia (Jho Low) ibarat seorang konduktor sebuah orkestra, di mana pemain yang berbeza memainkan peranan mereka tanpa perlu tahu apa yang dilakukan pemain lain untuk menghasilkan keputusan tertentu," kata Shahrol.

Shahrol juga bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa dirinya merupakan salah seorang yang berada di dalam orkestra itu, yang memainkan peranannya tanpa mengetahui apa yang ingin dilakukan oleh konduktor (merujuk kepada Jho Low).

Shafee kemudian bertanyakan saksi itu jika dia percaya bahawa ada kemungkinan bekas perdana menteri Najib Razak juga tidak tahu apa yang dilakukan Jho Low.

Shafee: Adakah kamu setuju, Jho Low mengatur (semua) ini. Adakah terdapat kemungkinan PM sendiri tidak tahu?

Shahrol: Berdasarkan apa yang saya lihat, pasti ada kemungkinan itu.


'Maklumat Petrosaudi dibentang pada 1MDB tanpa pengesahan bebas'

2.55 petang - Bekas CEO 1MDB memberitahu mahkamah bahawa satu pasukan yang menyediakan kertas kerja mengenai Petrosaudi International Ltd (PSI) telah menggunakan butiran maklumat yang dihantar oleh pihak PSI kepada 1MDB.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa hal ini dilakukan tanpa melakukan pengesahan bebas terhadap maklumat tersebut.

Berdasarkan pemeriksaan balas terhadap saksi oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, kertas kerja tersebut kemudiannya disampaikan kepada lembaga pengarah 1MDB semasa mesyuarat yang membincangkan usul usahasama antara dua syarikat itu.

Shahrol kemudian bersetuju dengan Shafee yang mencadangkan bahawa pembentangan itu boleh memberi tanggapan kepada ahli lembaga pengarah 1MDB bahawa pasukan berkenaan mendapat maklumat dengan melakukan kajian mereka sendiri.


2.39 petang - Perbicaraan bersambung selepas rehat makan tengah hari.


12.45 tengah hari - Mahkamah berehat untuk waktu makan tengah hari.


'Jho Low kata perjanjian 1MDB-Petrosaudi hal kawan tolong kawan'

12.30 tengah hari - Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa Jho Low memberitahunya bahawa usaha sama 1MDB-Petro Saudi International adalah urusan "kawan tolong kawan."

Saksi kesembilan memberitahu peguambela utama Muhammad Shafee Abdullah mengenai hal ini semasa pemeriksaan balas, apabila peguam bertanya kepadanya mengenai perjanjian usahasama tersebut.

Shafee: Jho Low memberitahu anda perjanjian tersebut adalah kawan tolong kawan?

Shahrol: Jho memberitahu saya perjanjian itu dilakukan berdasarkan asas kawan menolong kawan.

Shafee: Dia (Jho Low) menyimpulkan begitu?

Shahrol: Ya.


'Petrosaudi rakan kongsi dipercayai, benarkan firma itu lantik penilai aset' 

12.20 tengah hari - Bekas CEO 1MDB memberitahu mahkamah sebab syarikat syarikat pelaburan negara itu membenarkan Petrosaudi International Ltd (PSI) melantik penilai aset untuk aset yang akan dimasukkan ke dalam syarikat usahasama mereka.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata antara sebabnya termasuklah fakta bahawa usahasama itu melibatkan perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, dia memberi keterangan bahawa dia yakin PSI adalah rakan kongsi yang boleh dipercayai.

Shafee: (Berkenaan) aset yang sepatutnya disuntik oleh PSI, aset yang akan diletakkan oleh PSI ini. Adakah anda bersetuju dengan saya, bahawa ia perlu mengambil langkah penilaian (due dilligence) yang wajar, untuk menentukan kebenaran dan kredibiliti aset serta nilainya?

Shahrol: Kami mengambilnya sebagai mandat kepada kami untuk melaksanakan perjanjian G2G (kerajaan dengan kerajaan). Dalam fikiran saya ketika itu, PSI adalah rakan kongsi yang boleh dipercayai dan apabila mereka mengatakan mereka mewakili dan menjamin nilai aset tersebut, ia sudah cukup baik untuk kita meneruskan usahasama itu.


'Tak ada rekod hitam putih nilai usahasama Petrosaudi, cuma cakap lisan' 

12.12 tengah hari - Sebelum usahasama dengan 1MDB dimeterai, penilaian (due diligence) yang dilakukan terhadap Petro Saudi International (PSI) hanyalah dalam bentuk percakapan lisan, kata saksi di mahkamah.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa penilaian mengenai PSI tidak direkodkan secara bertulis atau dibentangkan kepada lembaga syarikat pelaburan negara itu.

Ketika pemeriksaan balas, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Shahrol walaupun ia melibatkan urusan antara kerajaan dengan kerajaan, ia masih memerlukan penilaian.

Shafee: Adakah dibuat penilaian (due diligence) dan direkodkan secara bertulis?

Shahrol: Tidak ada rekod bertulis.

Shafee: Penilaian lisan saja?

Shahrol: Ya. Ia tidak dikemukakan kepada lembaga pengarah.

Shafee: Tidak diterbitkan semula secara bertulis?

Shahrol: Tidak.


Sekutu Jho Low beritahu Petrosaudi milik keluarga diraja Saudi - Saksi

11.50 pagi - Mahkamah mendengar bahawa lembaga pengarah 1MDB dimaklumkan pada tahun 2009 bahawa Petrosaudi International Ltd dimiliki oleh Raja Arab Saudi Raja Abdullah dan keluarga diraja Saudi.

Menurut bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pengarah eksekutif syarikat itu, Casey Tang membuat representasi tersebut kepada lembaga pengarah dalam mesyuarat khas lembaga khas pada 18 Sept 2009.

Shahrol memberitahu mahkamah bahawa mesyuarat khas lembaga itu dipanggil dengan matlamat utama untuk membincangkan dan memutuskan sekiranya 1MDB perlu meneruskan Projek Aria, yang merupakan usahasama dengan PSI.

Saksi itu berkata dia percaya bahawa Casey mungkin mendapat idea PSI dimiliki oleh keluarga diraja Saudi daripada pengarah Petrosaudi Tarek Obaid dan Patrick Mahoney.

Shahrol berkata dia percaya bahawa hal ini disokong oleh Jho Low dan Casey percaya ianya benar.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol memberi keterangan bahawa dia juga percaya apa yang dikatakan Casey mengenai pemilikan PSI itu.


'Hubungan peribadi Najib, Raja Abdullah lahirkan usahasama 1MDB-Petro Saudi'

10.45 pagi - Hubungan peribadi antara Najib Razak dan Raja Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah mencipta usahasama 1MDB-Petro Saudi, bekas ketua eksekutif dana kekayaan itu memberi keterangan.

Saksi kesembilan Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

"Saya malah menambah lagi dan mengatakan usaha sama 1MDB-PSI (Petro-Saudi International) dicipta oleh hubungan peribadi ini," kata Shahrol.


Petrosaudi tunjuk 'murah hati' dalam usaha sama dengan 1MDB

10.30 pagi - Mahkamah mendengar bahawa Petrosaudi International Ltd (PSI) pada tahun 2009 menunjukkan kemurahan hati kepada 1MDB dalam rancangan usahasama mereka.

Semasa pemeriksaan balas terhadap bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, peguam bela pertahanan menunjukkan surat yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PSI Tarek Obaid bagi usahasama itu.

Ia termasuk tawaran oleh PSI untuk meletakkan aset bernilai AS$2 bilion dalam usahasama mereka, tetapi hanya perlu diperhitungkan sebagai AS$1.5 bilion sahaja, yang mana perbezaan sebanyak AS$500 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan pegangan saham oleh 1MDB sebanyak AS$1 bilion.

Shahrol kemudian bersetuju dengan cadangan oleh Shafee bahawa ini tindakan ini tanda kemurahan hati oleh PSI kepada 1MDB.


'Tanpa dijangka Anwar ambil slot Najib berucap di parlimen' - Shafee

9.43 pagi - Mahkamah Tinggi mendengar Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim "tanpa dijangka" tiba-tiba mendapat slot parlimen pada pagi yang sepatutnya dikhaskan kepada MP Pekan Najib Razak.

Peguam utama bekas perdana menteri, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah pada awal prosiding pagi ini.

"Beliau (Najib) telah diberikan slot berucap bersama tujuh lagi anggota parlimen semalam antara pukul 11 pagi ke 12 tengah hari. Slot beliau patutnya bermula jam 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.

"(Terdahulu) hal ini telah disahkan semalam. Speaker Mohamad Ariff Md Yusoff telah diberitahu tanpa ragu-ragu mengenai kepentingannya.

"Tetapi tanpa dijangka Anwar Ibrahim, yang sebelum itu tidak ada dalam slot, tiba-tiba mengambil slot anak guam saya," jelas Shafee.

Selepas itu, Shafee menyambung semula pemeriksaan balas terhadap bekas CEO 1MDB dan saksi ke-9, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Isnin lalu, Shafee telah memohon kepada mahkamah supaya sesi semalam bermula pada sebelah petang kerana beliau terpaksa berada di Mahkamah Persekutuan pada waktu pagi atas urusan lain.

Menurut peguam itu, Najib sebelum ini telah membuat permohonan kepada speaker Dewan Rakyat untuk meletakkan jadualnya berucap pada jam 4.30 petang, supaya dia boleh menghadiri perbicaraan tetapi permintaan tersebut tidak dipenuhi.

Tetapi semalam mahkamah dimaklumkan  Najib perlu hadir di parlimen untuk menyampaikan ucapan yang dijadualkan pada pukul 11 pagi.

Bagaimanapun, slot itu telah diambil alih bagi memberi ruang Anwar berucap.

Shafee pagi ini meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.


9.40 -  Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan prosiding bermula.


9.32 pagi - Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam untuk menunggu prosiding bermula.

Turut kelihatan ialah peguam utamanya, Muhammad Shafee Abdullah dan ahli pasukan pembelaan lain, serta Ketua Pendakwa raya DPP Gopal Sri Ram dan anggota lain pasukan pendakwaan.


Selepas ke parlimen, Najib balik ke kandang tertuduh 

9.00 pagi - Semalam, perbicaraan hari ke 22 kes ini ditangguhkan selepas peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah Najib yang juga MP Pekan perlu berada di parlimen untuk menyampaikan ucapannya.

Najib menghadapi empat pertuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah dengan

Muhammad Shafee Abdullah bertindak sebagai peguam bela utama Najib, manakala pihak pendakwaan pula diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram.