Skip to main
Logo Malaysiakini

Tok Pa: Tiada masalah jadi pembangkang tunggal DUN Kelantan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Adun Ayer Lanas, Mustapa Mohamed berkata dirinya tiada masalah untuk menjadi pembangkang tunggal di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

“Tak ada masalah. Kita politik matang yang penting kita bekerja untuk rakyat dan negara dan bahas dengan tertib.

“Kita dah nak menuju 2020. Kita kena sebarkan kematangan politik. Jika itu landasan kita, tak ada ada masalah. Mana yang tak betul kita tegur, mana yang baik kita sokong.

“Bagi saya semua kawan-kawan saya dah lama dalam politik sama ada PAS atau Umno. Kalau pembentangan usul oleh saya tidak menerima sokongan mereka, itu prinsip demokrasi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau yang kini mewakili Bersatu dipetik berkata peletakan jawatan Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad sebagai ketua pembangkang di DUN berkenaan bukan hal yang mengejutkan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Adun Umno itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang di DUN negeri.

Tindakan itu katanya, dibuat selepas perbincangan dengan Majlis Tertinggi Umno susulan termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara parti itu dan PAS, sebelum ini.

“Tetapi, ingin saya sampaikan mulai hari ini selepas Muafakat Nasional, sebenarnya Kelantan sudah tidak ada ketua pembangkang kerana saya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang.

"Kami semua (wakil rakyat BN) adalah penyokong kerajaan (Kelantan), yang tinggal hanyalah seorang pembangkang tunggal tegar.

"Beliau (PH-Ayer Lanas) tidak ada jemaah dan menjadi pembangkang tunggal. Terpulang kepada Speaker untuk susun semula kedudukan dalam dewan ini," katanya ketika membahaskan Belanjawan Kelantan 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Bharu.

Mustapa Mohamed (PH-Ayer Lanas) menang PRU14 atas tiket Umno tetapi menyertai Bersatu selepas pilihan raya umum lalu.

Terdahulu, cadangan supaya jawatan ketua pembangkang ditiadakan di negeri dikuasai Umno dan PAS dilontarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Menurut beliau, cadangan awal itu supaya dapat menggambarkan permuafakatan antara kedua-dua parti selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.