Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes jual IC: KDN sudah ambil tindakan disiplin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terlibat dalam kes penjualan kad pengenalan (IC) sudah dikenakan tindakan disiplin.

“Kita dah ambil tindakan disiplin, laporan polis pun kita dah buat.

“Jadi pihak berkuasa yang bertanggungwab boleh menyiasat. Setakat hari ni, saya tak tahu statusnya,” katanya dalam sidang media ketika ditanya berkenaan perkara tersebut.

Sidang media itu diadakan selepas beliau merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara di bangunan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya hari ini.

Pada 11 September, media melaporkan polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Pada hari berikutnya pula, enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang berumur antara 34 dan 66 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Minggu lalu, timbalan menterinya, Aziz Jamman berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes penjualan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah, sekiranya terdapat keperluan pada masa akan datang.

Beliau turut berkata KDN sedang menilai dan mengambil langkah memperkemas Prosedur Pengendalian Standard (SOP) dan menambah baik sistem sedia ada.

Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini, pihaknya menyerahkan kes yang berlaku di Pulau Pinang bulan lepas, disiasat sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Muhyiddin berkata pihaknya memandang serius berhubung perkara tersebut dan menganggapnya sebagai satu “pengkhianatan kepada negara”.

“Yang ini kita pandang serius, ia boleh dianggap pengkhianatan kepada negara.

“Tak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya dilakukan oleh sesiapa, lebih-lebih lagi oleh pegawai dalam jabatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menyeru rakyat untuk mengemaskini maklumat di JPN bagi menjayakan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik yang berkuat kuasa dua tahun lagi.

Katanya, dapatan JPN menunjukkan terdapat 22,956,443 di negara ini yang memiliki kad pengenalan (MyKad) manakala 1,429,196 lagi tidak mempunyai MyKad.

“Perkara ini agak penting kerana apa yang saya ucapkan tadi proses pendaftaran pengundi umur 18 tahun ke atas yang sedang dimulakan dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ini kita perlu selesaikan sebelum tarikh dikuatkuasakan pada tahun 2021.

“Saya ambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama kepada mereka yang tiada kad pengenalan, saya tak tahu macam mana mereka boleh hidup sedangkan kita ada beratus-ratus cawangan JPN,” katanya.