Skip to main
Logo Malaysiakini

Diskriminasi pencari kerja: K’jaan hanya boleh nasihat majikan - Mahfuz

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Memandangkan kerajaan tidak bercadang memperuntukkan perlindungan kepada pemohon pekerjaan dalam pindaan Akta Kerja 1955 buat masa ini, hanya nasihat yang boleh diberikan kepada pihak majikan dalam kes diskriminasi terhadap golongan berkenaan.

Kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar, hanya itu yang boleh dilakukan kerajaan memandangkan pemohon pekerjaan belum dianggap pekerja, justeru tidak termasuk dalam liputan akta tersebut yang bertujuan untuk melindungi pekerja.

“Itu (nasihat kepada majikan) sahaja yang boleh dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Bahasa Kementerian Sumber Manusia 2019.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita tentang sama ada kerajaan mempunyai langkah yang lebih proaktif untuk melindungi pemohon pekerjaan daripada diskriminasi memandangkan hal itu tidak akan dimasukkan dalam pindaan akta.

Semalam, ketika menjawab soalan daripada Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Mahfuz memberitahu bahawa buat masa ini, kementerian tiada cadangan untuk memperuntukkan perlindungan kepada pemohon pekerjaan dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Jelasnya, Akta Kerja 1955 (Akta 265) adalah terpakai mengenai hak dan perlindungan hanya setelah bermulanya hubungan antara pekerja dan majikan.

Katanya juga, kerajaan sedang dalam tindakan menyemak peruntukan undang-undang pekerjaan berkaitan larangan diskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa, ketidakupyaaan, status perkahwinan, kehamilan dan bahasa- yang katanya hanya akan tertakluk kepada “pekerja”.

Seperti ucapannya di Dewan Rakyat semalam, Mahfuz sebentar tadi berkata, biarpun tidak ada akta bagi melindungi golongan pencari pekerjaan daripada diksriminasi secara khusus, mereka boleh membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) jika berasa didiskriminasikan.

“Jika terdapat pembuktian bahawa ada unsur-unsur diksrimiasi terhadap mereka (pemohon pekerjaan), mereka boleh laporan kepada JTK, JTK akan ambil siasatan dan akan buat nasihat kepada majikan untuk elak daripada perkara tersebut (terjadi),” katanya lagi.

Mahfuz bagaimanapun menegaskan bahawa tidak seharusnya berlaku diskriminasi dalam permohonan pencari pekerjaan dari segala segi, termasuklah kaum dan agama, selain menambah perbincangan dan interaksi sentiasa dilakukan antara KSM dan pihak majikan.

Disoal apakah kerajaan tidak bercadang memasukkan perlindungan terhadap pencari pekerjaan ke dalam akta pada masa hadapan, Mahfuz mengulangi kenyataan bahawa akta itu hanya untuk pekerja, dan “belum lagi ada akta untuk melindungi pencari pekerjaan”.

Sementara itu, Mahfuz turut mendakwa dia belum pernah mendengar satu aduan rasmi tentang diskriminasi oleh majikan terhadap pencari pekerjaan, melainkan yang sering ditimbulkan melalui iklan-iklan.

“Setakat ini, tak ada rasmi yang membuat laporan sebegitu,” katanya lagi.

Perlindungan terhadap pencari pekerjaan sebelum ini termasuk dalam salah satu daripada cadangan pindaan Akta kerja 1955 yang pernah disiarkan laman web kementerian pada September 2018.

Dalam cadangan tersebut, ada peruntukan baru untuk "prapekerjaan", yang menyatakan "majikan tidak boleh mendiskriminasi pencari kerja berdasarkan jantina, agama, kaum, kecacatan, bahasa, status perkahwinan dan kehamilan".

Bagaimanapun, pada September lalu, cadangan tersebut dikatakan ditarik balik selepas bantahan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa ada perbincangan sebelum pihak kementerian memutuskan untuk tidak meneruskan peruntukan tersebut.