Skip to main
Logo Malaysiakini

Rumah dirempuh kapal tunda, wanita mengandung hadapi detik cemas

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang suri rumah yang mengandung tujuh bulan berdepan detik cemas apabila rumah yang didiaminya di tepi Sungai Batang Igan, di Sibu, dirempuh sebuah kapal tunda.

Suami wanita itu, Abdul Razak Ayat, 52, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi tadi ketika isterinya berada di dalam bilik air dan bergegas keluar setelah terdengar jeritan jiran-jirannya.

"Semasa kejadian hanya isteri berada di rumah, saya keluar bekerja manakala dua anak bersekolah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Razak yang merupakan pekerja swasta itu berkata, rumah yang didiami mereka sekeluarga itu adalah rumah sewa.

Katanya, akibat rempuhan kapal tersebut, keadaan rumah itu rosak dan senget serta tidak lagi selamat untuk didiami.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Sibu berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

Manakala Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Wong Chee Kiong ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima laporan lengkap kejadian itu.

- Bernama