Lelaki didakwa cuba halang anggota MPSJ tangkap anjing terbiar
Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan menghalang seorang anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada melakukan tugasnya menangkap anjing terbiar, yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.
Koh Tat Meng, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret M Barath.
Bapa tiga anak itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam anggota MPSJ, Mohd Sadruddin Mohd Rosli, 30, daripada menjalankan tugasnya di kawasan luar Vista Millennium Condominium, Puchong, dekat Petaling Jaya, pada 11.22 pagi, 3 Okt lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam N Rajesh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Nov depan untuk sebutan semula kes.
Turut kelihatan di dalam mahkamah, beberapa aktivis pencinta haiwan yang membawa poster, bagaimanapun polis meminta mereka supaya menyimpan poster itu sebelum prosiding bermula.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai