'M'sia dalam situasi tergantung kerana tiada tarikh jelas peralihan kuasa'
Beberapa pakar ekonomi menyuarakan pandangan susulan kenyataan kesan pelaburan terjejas akibat ketiadaan jangka masa khusus dalam peralihan kuasa perdana menteri.
Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) Prof Barjoyai Bardai menyifatkan Malaysia sedang menghadapi "situasi tergantung" ekoran masalah tersebut.
“Pertukaran perdana menteri dilihat sebagai pertukaran kuasa, ia sepatutnya ada tarikh yang jelas supaya pelabur raih kepercayaan terhadap Malaysia.
“Masalahnya, kalau diberi tarikh yang jelas, ia akan menyebabkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri tidak berfungsi.
"Kita sebenarnya berdepan dengan situasi tergantung,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Jelas Barjoyai, pelabur menitikberatkan keadaan politik yang teguh kerana bimbang akan struktur ekonomi negara berkenaan.
“Pelabur suka keadaan politik yang tetap bagi membolehkan mereka merancang pelaburan jangka panjang dengan risiko rendah,” katanya.
Terdahulu, Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketiadaan jangka masa khusus itu menimbulkan keraguan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing.
Tambah Khairy, hal itu menyebabkan pelabur berkira-kira untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.
Kata bekas menteri itu, keadaan yang dialami mendorong kadar pelaburan swasta pada separuh pertama tahun ini menurun 1.9 peratus.
Kebimbangan pelabur
Senada dengan Barjoyai, Prof Shazali Abu Mansor dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) turut menjelaskan setiap pelabur akan mengambil kira faktor politik jika ingin melakukan pelaburan di negara tersebut.
Bagaimanapun, Shazali berkata sekiranya ekonomi sesebuah negara dapat memberi jaminan meskipun berdepan dengan kegawatan politik, pelabur tidak akan bimbang.
“Jika pelabur mendapati ada risiko dalam politik namun masih boleh beri jaminan terhadap ekonomi, mereka akan tetap juga berurusan (membuat pelaburan).
“Ada juga pelabur yang masih ragu-ragu dan bimbang berkenaan ketiadaan jangka masa (jawatan perdana menteri) itu,” katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata ketiadaan jangka masa khusus dalam peralihan jawatannya tidak memberi kesan pada pelaburan.
Jelasnya, pelaburan dilihat masih ada sehingga kini.
Mengikut perancangan yang dipersetujui PH, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Meskipun Dr Mahathir berulang kali menegaskan akan mengotakan janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar, sehingga kini tiada jangka masa spesifik dinyatakan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai