Skip to main
Logo Malaysiakini

UM pertahan Kongres Maruah Melayu, tapi akan lebih berhati-hati pada masa depan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) mempertahankan penglibatan universiti itu sebagai penganjur bersama Kongres Maruah Melayu yang diadakan pada 6 Oktober lalu.

Bagaimanapun universiti itu akan membuat pertimbangan yang lebih teliti dan berhati-hati dalam program yang disertainya pada masa akan datang, kata Pengerusi Lembaga Pengarah UM Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim.

"UM sentiasa mengangkat penyebaran ilmu dan wacana ilmiah. Atas dasar itu Kongres Maruah Melayu dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKKM) - iaitu sebagai wacana akademik bagi mengenal pasti, membincang dan mencadangkan resolusi kepada pelbagai cabaran dihadapi orang Melayu hari ini dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan agama.

"Bagaimanapun, sejajar dengan matlamat Universiti serta prinsip yang didukung, pengurusan universiti akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat dan dinamik agar program yang disertai mempertimbangkan semua aspek kepentingan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

PKMM adalah di bawah UM. Selain UM, kongres itu turut melibatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beberapa pihak menyuarakan bantahan terhadap penglibatan universiti awam dalam kongres itu, antaranya Naib Presiden Umno Mohd Khaled Nordin yang menyifatkan Bersatu mempergunakan universiti awam sebagai alat.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga mempersoal perkara sama, dan bertanya sama ada empat universiti awam itu juga sanggup menganjurkan kongres untuk meningkatkan maruah kaum lain.

Mengulas lanjut, Mohd Azzman berkata objektif kongres tersebut sejajar dengan objektif penubuhan PKMM.

"Sebagai universiti terbaik dan terulung negara, UM menjunjung tinggi keintelektualan dan kebebasan akademik serta akan sentiasa bersifat neutral, tidak berpihak dan mengutamakan kepentingan negara," katanya lagi.

Selain sebagai penganjur, Naib Canselor UM turut menjadi ketua eksekutif kongres dan menyampaikan ucapan yang mencetuskan bantahan, termasuk daripada siswa universiti itu sendiri Wong Yan Ke yang menjadi perhatian baru-baru ini.

Ketika majlis konvokesyen 15 Oktober lalu, Wong selepas mengambil skrol ijazahnya turun ke bawah pentas dan membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Tindakan itu menyebabkan sejumlah pihak menggesa ijazahnya ditarik balik, bagaimanapun UM hari ini menjelaskan pihaknya tidak akan berbuat demikian.