Menteri jamin projek di Kelantan diteruskan
Menteri Kerja Raya, Baru Bian, memberi jaminan kementeriannya akan melaksanakan semua projek pembangunan infrastruktur yang dirancang bagi negeri Kelantan.
Justeru, katanya, tidak timbul sebarang isu untuk meminggirkan Kelantan sebaliknya rakyat di negeri ini akan tetap terbela melalui peruntukan besar yang disalurkan.
"Apa yang sudah dirancang melalui Kementerian Kerja Raya akan tetap dilaksanakan terutama membabitkan soal pembangunan infrastruktur demi keselesaan rakyat negeri ini.
"Ini hasrat kerajaan baru demi pembangunan semua," katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan projek lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan bagi pakej 2A yang menghubungkan Kadok ke Ketereh, di Kota Bharu hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kerajaan negeri yang berasa dipinggirkan daripada pembangunan oleh kerajaan persekutuan khususnya di bawah Kementerian Kerja Raya.
Dalam ucapan perasmiannya, Baru berkata, projek lebuh raya sepanjang 61.4 kilometer itu akan akan disiapkan mengikut jadual.
Jelasnya, ia dibahagikan kepada tiga pakej utama bermula Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan keutamaan pelaksanaan bagi pakej 1B, 2A, 2B, 2C dan 3A dari Pasir Hor ke Bukit Tiu, Machang dengan kos sebanyak RM1.45 bilion.
"Jajaran pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7 kilometer siap dibuka pada Ogos 2018 manakala pakej 2A dari Kadok ke Ketereh sepanjang 6.58 kilometer telah pun dirasmikan pembukaan hari ini.
"Jajaran yang sedang dalam pembinaan pula ialah pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas sepanjang 6.2 kilometer yang akan siap pada Nov tahun depan," katanya.
Sementara itu mengulas projek infrastruktur di negeri itu, Baru berkata, bagi tempoh 2019 sejumlah RM369 juta keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.715 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat di Kelantan.
Menurutnya, ia membabitkan pembinaan jalan baru, naik taraf jalan, pembinaan jambatan serta membaik pulih kawasan cerun.
"Selain itu bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM44.4 juta pada tahun ini bagi menyelenggara 1,366 kilometer jalan persekutuan sedia ada di Kelantan.
"Ia melibatkan RM15.8 juta bagi penyelenggaraan rutin dan RM28.6 juta bagi penyelenggaraan berkala," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai