Siasat Guan Eng juga, desak PAS
Penegasan dibuat pemimpin Pemuda DAP mengenai komik karya Hew Kuan Yau itu tidak ada kaitan dengan parti belum meyakinkan dan tidak boleh diterima, kata seorang pemimpin PAS.
Justeru menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Khairuddin Aman Razali, polis tidak wajar mengehadkan langkah mengambil keterangan Hew dan pelukis komik berkenaan semata-mata.
Menurut Khairuddin, polis juga patut menyiasat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang memberikan kata-kata aluan untuk komik berkenaan.
"Apabila yang menulis kata-kata aluan (dalam komik tersebut) adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ini menunjukkan ia mendapat dukungan penuh DAP.
"Tambahan pula dengan kedudukan Lim sebagai Menteri Kewangan, ia menjadikan komik ini lebih perlu dipandang berat," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Jalur dan Laluan (BRI) China itu adalah komik terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia dengan Hew - atau turut dikenali dengan gelaran Superman - menjadi pencerita, manakala Chong Po Ling menjadi pelukisnya.
Ia menjadi kontroversi selepas diedarkan kepada sekolah tertentu di Pulau Pinang. Kerajaan juga secara jelas menyatakan komik tersebut diedarkan tanpa kebenaran, manakala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan tidak terlibat dalam penerbitannya.
Boleh mudaratkan ketenteraman
Untuk rekod Hew mula dikenali ramai kerana kelantangannya di pentas-pentas ceramah DAP. Dia bagaimanapun meninggalkan parti terbabit pada 2016.
Hew kemudian dilantik menjadi ketua pegawai ekskutif Majlis Perniagaan Bersama China-Malaysia pada awal tahun ini.
Menurut Khairuddin kenyataan Ketua Pemkuda DAP Kebangsaan, Howard Lee, bahawa parti itu tiada kaitan sama sekali dengan penerbitan komik BRI sebenarnya tidak boleh diterima sama sekali.
"Bagaimana DAP boleh dikatakan tidak ada kaitan sama sekali dengan penerbitan komik itu serta isi kandungannya tidak mencerminkan pendirian DAP apabila penulis kata-kata aluan ialah Setiausaha Agung DAP?
"Bagaimana Pemuda DAP boleh berkata ia tidak sama kaitan serta tidak mencerminkan pendirian mereka apabila majoriti pemimpin tertinggi Pemuda DAP mempertahankan pengedaran dan isi kandungan komik berkenaan?" katanya.
Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus turut meminta semua 43 pemimpin akar umbi DAP yang meminta polis tidak menyiasat Hew, turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Baca Komik BRI tidak cermin pendirian parti - Ketua Pemuda DAP
Beliau yang turut dikenali sebagai tokoh ulama PAS menambah, menurut peruntukan tersebut, sesiapa yang sengaja menghalang penjawat awam menjalankan tugas boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya asekali.
"Ini bagi memberi mesej jelas kepada DAP dan mana-mana pihak lain supaya jangan sesekali cuba menekan dan mencampuri urusan pihak polis," katanya.
Tidak cukup dengan itu Khairuddin mendesak Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk mengharamkan komik berkenaan.
Kata Khairuddin, BRI itu ternyata memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman, menjelaskan kerajaan akan mengambil tindakan selepas siasatan mengenainya diselesaikan.
“Kita tunggu apa hasil siasatan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.
Pada masa sama Mohd Aziz mengingatkan DAP sudah memberi kenyataan bahawa parti terbabit tidak terlibat dalam pengedaran komik tersebut.
Beliau juga berpendapat penyebaran komik itu ke sekolah adalah satu tindakan yang tidak wajar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai