Kebocoran data: Nuemera dakwa polis tiada bukti syarikat itu terlibat
Nuemera (M) Sdn Bhd yang menerima kontrak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melindungi pengguna pada 2017 mendakwa polis telah mendapati tiada bukti syarikat itu terlibat dalam kebocoran data paling besar di negara ini.
"Siasatan polis, yang bermula pada Oktober 2017 ketika isu kebocoran data pertama kali dilaporkan, melibatkan beberapa pihak termasuk Nuemera, SKMM dan syarikat telekomunikasi yang relevan.
"Dalam menjalankan siasatannya, PDRM juga melawat infrastruktur utama Pusat Sekatan Selular Awam (PCBS) yang dihoskan di Pusat Data SKMM di Cyberjaya.
"Hasil siasatan rapi selama enam bulan ini, kami percaya pihak polis telah membersihkan Nuemera daripada sebarang kesalahan yang dinyatakan dalam surat yang dikeluarkan kepada Nuemera melalui peguam kami pada 26 April 2018," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nuemera berkata surat polis itu menyatakan: “Hasil siasatan mendapati sehingga kini tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Syarikat Nuemera (M) Sdn Bhd serta kakitangan yang terlibat dalam kebocoran atau penjualan data-data di Internet.”
Syarikat itu berkata surat polis itu mengesahkan bahawa tiada bukti bahawa kebocoran data berasal dari Nuemera atau Pusat Sekatan Selular Awam (PCBS) yang diuruskan secara kontrak oleh Nuemera.
Nuemera bertindak balas terhadap jawapan bertulis parlimen bertarikh 14 Oktober lalu di mana Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengatakan kontrak Nuemera telah ditamatkan berikutan kebocoran data itu.
"Susulan siasatan itu, SKMM pada 26 Januari 2018 telah menggantung pelantikan Nuemera kerana didapati telah melanggar fasal-fasal asas dalam kontrak perjanjian antara SKMM dan Nuemera yang telah ditandatangani.
"Pada 21 Mei 2018, SKMM seterusnya telah mengeluarkan notis kepada Nuemera atas keputusan SKMM untuk tidak memperbaharui Perjanjian PCBS tersebut untuk tempoh 5 tahun lagi, sebagaimana opsyen terdapat dalam kontrak perjanjian," kata jawapan bertulis itu
Bagi siasatan jenayah pula, kementerian itu berkata JPDP telah menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 9 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Kata kementerian itu lagi, perkara itu juga disiasat mengikut seksyen 130 akta sama berkenaan pengumpulan data peribadi yang bercanggah dengan undang-undang serta Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 berkenaan "capaian tanpa kuasa (authority) dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut."
Ia menjawab soalan daripada Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang mempersoalkan bagaimana data peribadi 46.2 juta akaun telefon bimbit dapat dibocorkan.
Nuemera berkata ia memilih untuk tidak membincangkan perkara itu secara terbuka tetapi ia perlu menjawab jawapan parlimen untuk memberikan "gambaran yang lebih tepat".
Mengenai penamatan kontrak itu, Nuemera berkata syarikat itu mematuhi sepenuhnya semua kewajipannya sebagaimana kontrak dengan SKMM.
"Bagaimanapun, kerana terdapat pertikaian kontrak yang berkaitan dengannya, SKMM dan Nuemera telah bersetuju untuk merujuk perkara itu kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC). Oleh itu, kami tidak dapat memberi komen lagi, " katanya.
Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan dalam tindakan AGC.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai