Skip to main
Logo Malaysiakini

Kebajikan pekerja Food Panda antara tumpuan di Dewan Rakyat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Persoalan sama ada kerajaan bersedia untuk mengawal selia sektor ekonomi gig demi membela nasib dan menjaga kebajikan pekerja dalam sektor berkenaan antara isu yang akan diangkat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, soalan itu dikemukakan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri yang akan membuka sesi mesyuarat pagi ini.

Ekonomi gig adalah kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu tanpa ada majikan dengan menjual perkhidmatan kepada orang lain, dan dijalankan sama ada untuk sepenuh masa atau separuh masa.

Antara model bisnes yang diidentitikan dengan ekonomi gig ialah Food Panda, Uber, Grab dan Airbnb yang menggunakan platform digital dalam perhubungan dan aktiviti perniagaan mereka.

Tidak kurang menariknya soalan yang dikemukakan oleh Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) yang mahukan penjelasan daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengenai desas-desus Jepun berhasrat mengambil alih syarikat penerbangan Malaysia, MAS, serta kaedah yang diguna pakai negara itu untuk membuat tawaran berkenaan.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) turut serta dalam sesi ini dengan bertanyakan berkenaan kesan terhadap eksport kelapa sawit ekoran tindakan kerajaan India menaikkan nilai import kepada 25 peratus serta sama ada nilai eksport komoditi itu meningkat ke China hasil hubungan baik dengan negara itu.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.

- Bernama