Skip to main
Logo Malaysiakini

Lima peminjam PTPTN heret PH ke mahkamah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) dan dua lagi dibawa ke mahkamah berhubung janji manifesto PRU ke-14 yang tidak dipenuhi.

Ia terutama berkenaan penangguhan bayaran pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggit Nasional (PTPTN) untuk mereka yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Lima peminjam PTPTN hari ini memfailkan saman terhadap badan itu, PH dan kerajaan Malaysia.

Plaintif - Andry Putra Haris, 28, Farah Athirah Kamarozaman, 27, dan Mohamad Asrol Md Jailani, 26, dari Kuala Lumpur; manakala Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 26, dan Mohammad Aswad Sobri, 34, dari Kedah - memfailkan writ saman melalui firma Messrs Adnan Sharida & Associates, menerusi sistem e-fail di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut salinan kenyataan tuntutan, lima individu itu mendakwa tiga defendan terikat secara kontrak untuk menunaikan janji manifesto ekoran kemenangannya dalam PRU ke-14.

Mereka berkata rakyat Malaysia percaya dan berpegang kepada janji itu sebagai benar, mengikat dan akan dilaksanakan, dan kepercayaan rakyat, terutama pengundi, terhadap manifesto pilihan raya akan hilang jika ia tidak ditunaikan.

Mereka juga membangkitkan sepuluh janji yang menurut PH akan dilaksanakan dalam masa 100 hari pentadbiran, antaranya penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN itu.

Kata mereka, janji itu disebut dalam beberapa janji pilihan raya PH, termasuk janji kelima berkenaan pengurangan kos sara hidup golongan muda, dan janji ke-50 berkenaan mengembalikan kewibawaan institusi dan universiti awam.

"Kontrak ini tercipta apabila melalui Buku harapan di muka surat satu dan dua, defendan kedua melalui Dr Mahathir Mohamad pada 8 Mac 2018 telah menawarkan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuklah plaintif bahawa semua janji yang dibukukan di dalam Buku Harapan adalah janji yang akan ditunaikan oleh defendan kedua apabila menubuhkan kerajaan, iaitu defendan ketiga," kata mereka.

Andry, Farah, Asrol, Muzakkir, and Aswad mendakwa walaupun dengan kemenangan itu, dan telah mentadbir negara lebih setahun, PH dan kerajaan masih gagal, enggan dan/atau lalai dalam melaksanakan hampir semua janji dalam Buku Harapan.

"Melalui sidang media oleh defendan pertama bertarikh 16 Julai 2018, pengerusi defendan pertama Wan Saiful Wan Jan menyatakan pelaksanaan janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan akan dilaksanakan setelah kajian yang lebih teliti selesai dijalankan.

"Bagaimanapun defendan-defendan masih gagal, enggan dan/atau cuai untuk melaksanakan janji tersebut dan sehingga hari ini, tiada apa-apa berita mengenai kajian itu telah dilaksanakan atau tidak," kata mereka.

Plaintif menuntut satu pengisytiharan bahawa janji dan manifesto PH adalah kontrak yang mengikat parti politik yang menang pilihan raya.

Mereka juga menuntut satu perintah agar defendan menangguhkan bayaran balik PTPTN oleh semua peminjam yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan.

Ketika dihubungi, peguam plaintif Adnan Seman berkata salinan saman akan diserahkan kepada tiga defendan tidak lama lagi, selepas pihaknya mendapatkan salinan daripada Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]