Maszlee: Tindakan Liu biadab
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, hari ini mengarahkan agar komik kontroversi garapan Hew Kuan Yau tidak disebarkan di mana-mana sekolah negara ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan pagi ini, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti sama ada wujud orang dalam terbabit membenarkan komik tersebut disebarkan di sekolah.
"KPM akan memastikan sesiapa sahaja - jika terbukti benar dakwaan ini - akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
Menurut beliau, KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan mereka.
Pada masa sama anggota parlimen Bersatu yang mewakili Simpang Renggam itu menggesa DAP untuk mendisplinkan anggota mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh kepada perlembagaan serta undang-undang negara.
Kenyataan tegas Maszlee itu dibuat beberapa hari selepas 43 pemimpin dan Adun DAP membantah keputusan KPM melarang Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) diedarkan di sekolah negara ini.
Bantut agenda reformasi
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menganggap Maszlee sebagai mengikut rentak bekas perdana menteri, Najib Razak dalam isu berkenaan.
“Kami nak tanya Maszlee: adakah beliau menteri dilantik PH atau Umno? Kalau dilantik PH, mengapa perbuatan beliau semakin cenderung kepada Umno yang rasis?” kata mereka..
Kenyataan tersebut ditaja Setiausaha Pemuda DAP Kebangsaan, Eric Teh, dan Timbalan Ketua Pemuda DAP Selangor, Koo Jeng Teng.
Lima Adun yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Phoong Jin Zhe (Adun Luyang merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah), Chiong Yoke Kong (Tanah Rata), Chow Yu Hui (Tras), Lee Chin Chen (Bilut) dan Leong Yu Man (Adun Triang).
Kesemua Adun tersebut adalah dari Pahang.
Baca Kiblat 'Superman' ke M'sia atau Komunis China?
Semalam pula The Star Online melaporkan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Ronnie Liu, mendakwa PH masih boleh berjaya membentuk kerajaan walaupun tanpa Bersatu.
Kata Liu, dengan gabungan DAP, PKR, Amanah, Parti Warisan Sabah dan Upko, PH masih mempunyai kerusi yang cukup membentuk kerajaan pusat.
Untuk rekod Hew adalah bekas anggota DAP yang meninggalkan parti itu pada 2016 selepas menyebabkan parti itu dikritik ramai kerana beberapa tindakannya yang kontroversi.
Menurut Maszlee, tindakan merendah-rendahkan parti komponen PH oleh kalangan anggota DAP - seperti Liu - boleh dianggap biadab dan tidak berasas.
"Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan.
"Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan," katanya.
Sementara itu Liu dalam reaksi segeranya berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sentiasa menghormati perbezaan pandangan.
Kata bekas exco Selangor itu, perdana menteri sendiri selalu memberikan pandangan dan kritikan secara terbuka.
"Tun (Dr Mahathir) boleh handle, yang lain tak perlu bimbang sangat atau overreact (beri reaksi berlebihan)," katanya dalam hantaran di Facebook yang turut mengepilkan laporan Malaysiakini hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai