Setelah lebih 40 tahun, kesatuan mahasiswa lahir semula di UIAM
Selepas lebih 40 tahun, kesatuan mahasiswa yang tidak tertakluk di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) dilahirkan semula melalui penubuhan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM).
Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyifatkan penubuhan KPUIAM ibarat kelahiran semula kesatuan pelajar di Universiti Malaya (UM) yang terkubur lebih 40 tahun dahulu.
Katanya, penubuhan itu merupakan satu titik perubahan yang memberikan semula kuasa kepada pelajar mengendalikan urusan kesatuan dan aktiviti mereka tanpa kongkongan HEP universiti seperti sebelum ini, sekali gus menjadikan mereka lebih matang.
“Hari ini kita menyaksikan peristiwa bersejarah iaitu penghidupan kembali kesatuan pelajar buat pertama kali setelah terkubur lebih 40 tahun dahulu.
“Kita tahu kesatuan pelajar yang terakhir adalah di UM yang telah berkubur dan pada hari ini telah dihidupkan semula di UIAM.
"Kita amat berbangga kerana ini merupakan titik perubahan dalam perjalanan masa depan sejarah negara kita [...]” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran KPUIAM di Dewan Wadi Budi, UIAM Gombak, petang tadi.
Maszlee dipercayai merujuk kepada kesatuan pelajar di UM sebelum penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 pada 30 April tahun itu.
Selepas itu, berlaku beberapa pindaan terhadap akta itu yang menyebabkan mahasiswa tidak dibenarkan sama sekali untuk menyertai mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan gabungan badan pelajar, selain terkekang daripada memberi pendapat secara bebas.
Sebelum penguatkuasaan Auku, kesatuan pelajar memiliki bidang kuasa lebih luas untuk menyusun atau menjalankan aktiviti melibatkan pelajar tanpa sekatan oleh mana-mana pihak.
Dengan pelancarannya hari ini, KPUIAM akan menjadi organisasi bebas yang berdaftar bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan mengembalikan kebebasan dan autonomi kepada pelajar.
Pelancaran tersebut turut dihadiri antaranya oleh Presiden UIAM, Dr Mohd Daud Bakar; Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Jabatan Pendidikan Tinggi KPM, Zaid Omar dan aktivis politik dan sosial, Hishamuddin Rais.
Berdasarkan kenyataan berkenaan pelancaran tadi, KPM pada Oktober 2018 telah memberikan kuasa autonomi kepada universiti awam dalam empat perkara, iaitu tadbir urus, kewangan, penjanaan pendapatan, sumber manusia dan pengurusan akademik serta kemasukan pelajar.
Dalam ucapan perasmiannya, Maszlee berkata, suara mahasiswa sudah tidak boleh lagi disekat dan semua pihak tidak boleh terus “berpura-pura” memandang golongan tersebut bukan sebagai ahli masrayakat yang aktif.
Katanya, dengan membebaskan suara mahasiswa, mereka akan mampu untuk menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negara.
“Walaubagaimanapun, saya harus ingatkan para pelajar kita yang kuasa ini tak boleh diambil ringan, harus digunakan dengan bertanggungjawab.
“Sepertimana kamu diberikan autonomi untuk menyusun kesatuan, kamu juga perlu lihat ia sebagai peluang keemasan untuk membuktikan kematangan kamu dengan cara menggunakan autonomi ini secara berfaedah.
“Sama ada untuk mencabar proses yang tak efisyen, mengubah peraturan yang menekan, menggalakkan kematangan berpolitik, semuanya kini di tangan kamu, dan seluruh negara sedang memerhatikan kamu,” katanya ketika berucap.
Dalam ucapannya juga, Maszlee mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada KPUIAM sebagai sokongan untuk menggerakkan kesatuan itu, “tanpa sebarang kekangan dikenakan terhadapnya”.
Namun, beliau memberi peringatan kepada kepimpinan kesatuan agar berpegang pada integriti dan kebolehpercayaan dalam menguruskan kewangan, dan memastikan tidak berlaku korupsi, salah guna dan penyelewengan dalam pengurusan kewangan kesatuan.
Selain itu, dalam sidang media, Zaid berkata kementerian menyasarkan kesemua universiti mempunyai kesatuan pelajarnya tersendiri.
Namun, katanya, untuk tahun 2020, penubuhan kesatuan pelajar akan dapat dilakukan di lima universiti awam.
Selain peruntukan RM100,000 daripada KPM yang diumumkan tadi, KPUIAM turut akan mendapat peruntukan tahunan RM170,000 daripada UIAM.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai