Skip to main
Logo Malaysiakini

Pena gesa tindakan dengan pihak terlibat dengan komik haram

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tidak cukup dengan pengharaman, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menggesa kerajaan bertindak terhadap pihak yang terlibat dengan penerbitan komik Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI).

“Sekiranya wujud bantuan secara langsung oleh sesiapa sahaja, termasuk ahli politik dan pemimpin kerajaan, dalam penerbitan buku tersebut, siasatan dan tindakan undang-undang hendaklah diambil terhadap mereka.

“Ahli politik yang telah menjadi kerajaan tidak wajar sama sekali menghalang tindakan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri menghapuskan gejala subversif itu,” kata Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad.

Antara kandungan komik itu yang mengundang perasaan tidak puas hati ialah kenyataan yang menyebut pihak yang bersimpati dengan penduduk Uighur di China sebagai radikal.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap komik itu alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Sementara itu, PENA juga menyokong penuh tindakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melarang pengedaran komik tersebut ke sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

“Apabila komik itu diedarkan ke sekolah, tujuannya adalah untuk meracuni fikiran pelajar supaya cenderung menerima ideologi yang bertentangan dengan ideologi kebangsaan yang sudah dirumuskan dalam prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

“Itu jelas merupakan pengkhianatan terhadap negara, yang di-Pertuan Agong, dan keluhuran undang-undang,” kata Saleeh lagi.