Skip to main
Logo Malaysiakini

6 ahli parlimen BN gesa PM habiskan penggal

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Enam ahli parlimen BN hari ini menyatakan sokongan agar Dr Mahathir Mohamad kekal menjadi perdana menteri sehingga akhir penggal.

Perkara itu dinyatakan dalam sidang media bersama di parlimen hari ini dengan membangkitkan kepentingan terhadap ekonomi negara.

Wakil-wakil rakyat itu ialah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ismail Abd Muttalib (Maran).

“Saya terpanggil membuat kenyataan ini kerana kami harap sangat, jangan ada masalah kerana dengan peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun ini satu perkara yang tidak masuk akal kerana rakyat telah beri mandat kepada mereka untuk memerintah,” kata Mohd Shahar.

Katanya “kerajaan pintu belakang” tidak akan memberi keuntungan kepada negara.

Mengikut perancangan, Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, namun tiada masa yang khusus dinyatakan untuk proses peralihan tersebut.

Mahathir beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa beliau akan melepaskan jawatan tersebut kepada Anwar.

Sementara itu, Adham pula berkata peralihan kuasa jika berlaku segera akan menyebabkan kadar pelaburan di Malaysia merudum.

“Jadi eloklah kita nyatakan secara peribadi kerana ini (peralihan kuasa) kalau diteruskan kita akan berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak bagus dan tentu sekali akan menurun kadar pelaburan dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman dan Ahmad Nazlan pula menggesa pemimpin kerajaan tidak terlalu fokus kepada peralihan kuasa dan mula mencari jalan bagi menyelesaikan tanggungjawab demi meningkatkan ekonomi negara.

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan barisan ahli Parlimen tersebut tidak mewakili suara rasmi parti itu.

“Itu cuma pendapat mereka, bukan pendapat parti,” katanya.