Dakwaan komplot belakang tabir: Hisham ulang 'siapalah saya'
Bekas naib presiden Umno Hishammuddin sekali lagi berkata beliau tidak memiliki pengaruh politik untuk merancang plot mengekalkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, sekaligus menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantinya.
"Siapa saya untuk tentukan Anwar jadi perdana menteri atau tidak? Saya bukan pemimpin kerajaan. Malah jawatan tertinggi dalam Umno dan BN pun tiada.
"Mereka kata saya pengaruhi 30 ahli parlimen pembangkang untuk masuk Pakatan Harapan (PH) demi mempertahankan Mahathir sebagai perdana menteri...Siapalah saya untuk pengaruhi ahli parlimen...Mereka wakil rakyat dan pemimpin. Ini penghinaan terhadap kami semua.
"Kalau ya pun terdesak sebab masalah dalaman anda sudah huru-hara sangat, takkan dengan saya yang tiada apa-apa jawatan pun rasa tergugat," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Minggu lalu, PH dalam kenyataan mendakwa Hishammuddin bertanggungjawab menggerakkan kempen membentuk kerajaan baru dengan mengetepikan Amanah dan DAP.
Ia ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.
Pada hari sama sebelum kenyataan itu dikeluarkan, Anwar ketika perbahasan di Parlimen membayangkan anggota parlimen Sembrong itu terlibat dalam satu plot, ketika menggesa anggota parlimen tidak takut dengan ugutan dihadapkan dengan pendakwaan.
Baca: 'Komplot belakang tabir': Sumber dakwa pemimpin PH kerjasama dengan Hisham
Malaysiakini kemudian memetik sumber yang mendakwa Hishammuddin dikatakan bekerjasama dengan tiga pemimpin PH untuk mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri untuk penggal ini.
Hari ini The Malaysian Insight pula melaporkan beliau cuba mendapat sokongan sekurang-kurangnnya 30 anggota parlimen BN untuk menyokong Mahathir dan menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata PH beberapa kali menukar tiang gol dalam isu ini.
Katanya, PH seharusnya menumpukan soal ekonomi dan masalah rakyat berbanding "berpolitik sehingga lupa tanggungjawab".
Maklumat yang dikumpul daripada sumber-sumber Malaysiakini menunjukkan walaupun semua anggota parlimen Bersatu (27), BN (40), dan PAS (18) bersatu dengan 18 anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin, dan juga tiga anggota parliman Gabungan Bersatu Sabah dan dua anggota parlimen Bebas, jumlahnya hanya 108 kerusi parlimen.
Jumlah itu kurang empat kerusi daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.
Untuk menjamin kejayaan usaha itu, arkiteknya memerlukan sokongan anggota parlimen daripada Warisan di Sabah atau GPS di Sarawak. Warisan ada sembilan kerusi parlimen manakala GPS ada 18.
Bagaimanapun GPS berkata pihaknya tidak berminat dengan siapa yang menjadi perdana menteri.
Sementara hubungan Bersatu dengan Warisan pula sedikit tegang apabila parti itu membuka cawangan di Sabah, bertentangan dengan persefahaman yang dicapai sebelum PRU ke-14.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai