KDN serbu Muzium Komik Asia, rampas 13 naskhah komik
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerbu Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di George Town dan merampas buku komik Hew Kuan Yau yang bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’.
Komik itu dikatakan mencuri tumpuan apabila dipercayai diedarkan di beberapa sekolah jenis kebangsaan di negara ini secara percuma.
KDN semalam mewartakan perintah larangan terhadap komik itu atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah..
Menurut sumber, serbuan dan pemeriksaan dibuat Bahagian Pengkuatkuasaan KDN pada kira-kira jam 11 pagi.
“Pemeriksaan dijalankan selama sejam dan mereka kemudiannya merampas 13 komik itu,” kata seorang kakitangan yang enggan dikenali.
Dia juga berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai pengharaman komik terbabit.
Malah katanya, mereka juga tidak menerima apa-apa arahan daripada pengurusan muzium yang dibuka seperti biasa dari jam 11 pagi hingga 7 petang..
Dia menambah pihaknya juga sedang menunggu arahan daripada Putrajaya mengenai tindakan lanjut mengenai naskhah yang telah dihantar ke perpustakaan sekolah.
Ketika dihubungi, Kurator Muzium Hew Kuan Yau berkata bahawa dirinya tidak berada di muzium ketika serbuan dijalankan hari ini dan enggan mengulas lanjut.
Semalam, tiga individu termasuk Hew atau dikenali sebagai 'Superman' dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman berhubung penerbitan komik yang didakwa berunsur propaganda.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai