Jelaskan bagaimana komik Hew berada di tangan presiden China - MCA
MCA hari ini mempersoalkan bagaimana salinan komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang telah diharamkan oleh kerajaan boleh diserahkan kepada Presiden China Xi Jinping.
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata beliau mahu Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Perwakilan Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai untuk menjelaskan perkara itu.
Beliau merujuk kepada gambar-gambar yang memaparkan Xi membelek buku komik yang ditulis oleh bekas ahli DAP Hew Kuan Yau itu, dengan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui bagaimana buku komik, yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, telah diserahkan kepada Perdana Menteri China Xi Jinping.
"Terdapat gambar yang memaparkan Xi Jinping melihat komik itu di hadapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
"MCA mahu tahu bagaimana komik itu diserahkan kepada Xi dan siapa yang meluluskannya? Tentunya kita mempunyai hak untuk tahu," kata Wee dalam satu kenyataan di Facebook.
Wee berkata adalah mustahil buat Tan, seorang ahli parlimen DAP, tidak tahu tentang buku itu, terutamanya kata pengantar komik tersebut ditulis oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. Lim juga adalah Menteri Kewangan.
Tan, yang juga Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), pada Januari lalu melantik Hew sebagai ketua pegawai eksekutif MCBC.
Hew hari ini meletakkan jawatannya di MCBC susulan bantahan berterusan terhadap komik tulisannya itu yang turut diagihkan perpustakaan sekolah. Dia mendakwa buku itu diserahkan kepada pemimpin China berkenaan oleh Mahathir pada bulan April.
Walau bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa Mahathir yang memberikan Xi komik tersebut tetapi mendakwa ia diserahkan kepada dengan cara yang "tidak mematuhi protokol".
Buku ini ditulis oleh Hew dan diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia yang terletak di George Town, Pulau Pinang, dengan Hew sebagai kurator.
"Kita juga tahu bahawa walaupun Hew secara rasminya adalah bekas ahli DAP, fakta dan realitinya adalah bahawa dia masih berpengaruh dalam parti itu.
"[...] episod ini telah menjadikan Malaysia dan kerajaan Pakatan Harapan sebagai bahan lawak," kata Wee.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai