Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan kaji sistem takungan air untuk atasi masalah banjir di KL

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji kekurangan pada reka bentuk pembinaan Terowong Smart bagi menangani masalah banjir kilat yang kerap berlaku di ibu negara.

Menterinya, Khalid Samad, berkata melalui kajian tersebut pihaknya yakin akan dapat mengurangkan masalah banjir sedia ada sekali gus mengatasi isu kapasiti kemampuan untuk mengalirkan air hujan.

“Sekarang ini kementerian akan membuat kajian untuk melihat di mana kekurangan yang ada pada reka bentuk (sistem takungan) dulu, (agar) dapat menangani sebahagian besar (masalah banjir).

“Tapi, oleh kerana sekarang (musim) hujan dah lebat kemudian mungkin dah ada perubahan dengan adanya pembangunan, maka mungkin kita kena tambah lagi dari segi kapasiti kemampuan untuk mengalirkan air hujan dan air banjir ke sungai sungai,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas apakah perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah banjir kilat di ibu negara.

Beberapa kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat, selain kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang susulan hujan lebat petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataannya memaklumkan antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Kampung Segambut Dalam, Kampung Sungai Penchala dan kawasan Pasar Seni menghala ke Brickfields.

Turut dilaporkan ialah kejadian tanah runtuh berkeluasan 12 meter persegi di Institut Latihan Kemas, Jalan Syed Putra berikutan tembok runtuh sepanjang 10 meter.

Dalam pada itu, enam kejadian pokok tumbang dilaporkan di Jalan Segambut, Taman Sejahtera, Taman Sri Delima, Taman Sri Segambut, Taman Niaga Waris dan di Stesen Minyak Shell, Taman Desa di Kuala Lumpur.