Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan 3 individu bersama objek dipercayai bom tangan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita bersama objek yang dipercayai sebutir bom tangan dalam sebuah kereta di persimpangan empat lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) di Jasin, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata suspek lelaki berumur 19 dan 33 tahun, manakala suspek wanita berusia 57 tahun ditahan di persimpangan empat lampu isyarat Serkam-Merlimau-Jasin menghala ke Melaka di lebuh itu, pada 12 tengah hari.

“Semasa pasukan pegawai dan anggota polis menghampiri kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam yang dinaiki kesemua suspek, suspek lelaki yang memandu kereta itu bertindak agresif tetapi dia berjaya ditahan oleh pegawai dan anggota polis di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan di bahagian but kereta, polis menemui dua parang dan dua kayu rotan selain satu objek yang dipercayai bom tangan dijumpai di bawah kerusi pemandu,” katanya ketika dihubungi Bernama di Jasin.

Beliau berkata bom tangan yang ditemui telah diambil Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dan diletupkan di satu kawasan lapang di dalam ladang kelapa sawit di Melaka.

Mohd Nor Yhazid berkata kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 atau Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

- Bernama