Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis surai demo 'siswa bersama VC' lepas beri amaran 3 kali

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis telah membebaskan aktivis Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (Gamis) yang ditahan pada demonstrasi di hadapan Universiti Malaya (UM), petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi memaklumkan aktivis berusia 27 tahun itu dibebaskan tanpa syarat selepas keterangannya diambil.

"Manakala, seorang perempuan Melayu yang berusia 27 tahun telah ditahan untuk proses dokumentasi di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah dan telah dibebaskan. 

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman," katanya dalam suatu kenyataan malam tadi.

Aktivis yang ditahan semalam ialah Ketua Muslimah Gamis, Maizatul Afirah Ayub.

Menurut Zairulnizam polis bertindak menyuraikan himpunan semalam selepas memberi amaran sebanyak tiga kali.

Katanya, himpunan tersebut menghalang lalu lintas di pintu utama UM.

"Pada kejadian kira-kira pukul 2.00 petang itu, perhimpunan aman disertai lebih kurang 60 orang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaya (Gamis).

"Perhimpunan disuraikan pada pukul 3.00 petang dan polis turut merampas dua pembesar suara.

"Pihak Polis telah memberi amaran sebanyak 3 kali kepada para peserta perhimpunan untuk beredar dan bersurai kerana menghalang laluan keluar masuk di pintu utama Universiti Malaya. Pihak penganjur juga didapati tidak menghantar notis pemakluman perhimpunan kepada pihak polis," jelasnya.

Zairulnizam berkata peserta himpunan cuba memasuki UM namun berjaya dihalang polis bantuan yang menutup pagar UM.

"Perhimpunan dijalankan secara aman tanpa sebarang pergaduhan dan berjaya disuraikan sepenuhnya oleh polis yang bertugas," katanya.


BACADemo ‘mahasiswa bersama VC’: Polis tahan pelajar wanita


Perhimpunan semalam diadakan untuk mempertahankan Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim dan mengutuk bekas aktivis pelajar Umany Wong Yang Ke.

Ketika istiadat konvokesyen universiti itu pada 14 Oktober lepas, Wong membawa plakad bertulis ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ ke dalam Dewan Tunku Canselor UM.

Abdul Rahim dikritik kerana peranannya dalam Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Zairulnizam selanjutnya berkata kesemua peserta cuba memasuki UM namun berjaya dihalang polis bantuan dengan bertindak menutup pintu pagar masuk ke universiti itu.

"Perhimpunan dijalankan secara aman tanpa sebarang pergaduhan dan berjaya disuraikan sepenuhnya oleh polis yang bertugas," katanya lagi.

Dalam suatu kenyataan berasingan malam tadi, Wong berkata Umany bukanlah alat mana-mana parti politik sebagai mana yang tertera pada plakad yang dipegang peserta himpunan semalam, mendakwa Umany sebagai alat DAP.

Wong juga membidas tindakan melabel pihak yang tidak sependapat sebagai penyokong DAP.

Bagaimanapun, kata Wong para pelajar berhak untuk berhimpun secara aman dan kecewa dengan tindakan polis menangkap aktivis Gamis, Maizatul.

Untuk rekod, Wong pada 22 Mac lalu pernah menjadi perhatian selepas didakwa dikasari oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam.

Kes itu kini telah dibawa ke mahkamah.