Skip to main
Logo Malaysiakini

Trafik perlahan ke utara, selatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Aliran trafik tinggi serta perlahan dilaporkan di hampir semua bahagian Lebuhraya Utara-Selatan sehingga 1 tengah hari ini, berikutan orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung berikutan cuti panjang sempena perayaan Deepavali esok.

Jurucakap Plus Malaysia Berhad berkata aliran trafik perlahan susulan pertambahan jumlah kenderaan selain faktor cuaca hujan lebat yang melanda beberapa tempat.

Katanya di bahagian utara, trafik perlahan dari Perai menuju Seberang Jaya; Bandar Cassia ke Bukit Tambun(Utara), Bandar Cassia ke Jawi serta Bandar Baharu ke Jawi.

"Trafik juga perlahan di bahagian tengah iaitu, Tapah menuju Gopeng, Slim River ke Sungkai; Rawang (Selatan) ke Bukit Beruntung; dari Lembah Beringin menuju Tanjung Malim; dan Bukit Lanjan ke Kota Damansara serta Southville City ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Selatan).

"Turut perlahan di bahagian selatan iaitu dari Seremban menuju Hentian Senawang (Selatan); Ayer Keroh ke Jasin; Tangkak ke Jasin; Yong Peng(Utara) ke Pagoh; Kulai ke Sedenak; Skudai ke Senai dan Pasir Gudang ke Persimpangan Dato' Onn," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik turut dilaporkan perlahan dan sesak dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak .

Bagaimanapun, katanya aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 pula setakat ini masih lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

- Bernama