Skip to main
Logo Malaysiakini

Allah tentukan hayat usia, kata Bersatu Johor pada Hasni

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Pengerusi Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad dibidas kerana mengulas usia calon Bersatu yang baru diumumkan bagi PRK Tanjung Piau.

Setiausaha Bersatu Johor Mohd Solihan Badri memberitahu Malaysiakini soal ajal dan maut merupakan ketentuan Allah tanpa mengira umur tua atau muda.

"Allah waataalah yang menentukan hayat usia kita, (Hasni) jangan cakap begitu.

"Orang pun boleh meninggal dunia dalam usia yang muda," katanya yang juga Adun Tenang.

Mohd Solihan hari ini berkata Bersatu negeri akan memastikan calon PH menang bagi mewarisi legasi bekas penyandang parlimen Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia baru-baru ini.

Terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan ketua bahagian parti itu di Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66 sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) parlimen berkenaan.

Berasal dari Pontian, Karmaine merupakan anak seorang tokoh agama tempatan dan pernah menjadi Imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Karmaine bertanding di kerusi parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor ketika berucap pada majlis pelancaran jentera BN untuk PRK kali ini mengulas mengenai usia Karmaine.

"Calon mereka saya kira 66 tahun, tahun depan 67 tahun saya harap kita tiada PRK lagi. Penat PRK ni," katanya.

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) yang juga Syed Saddiq pada ciapan di Twitter berkata "soal hidup dan mati bukan untuk dipermainkan."

"Saya kenal ramai yang berhormat dari BN dan PAS yang umurnya lebih tua dari 66 tahun. 

"Tidak pernah sekali terfikir bila nyawa mereka akan ditarik," kata menteri belia dan sukan itu.

Sementara itu, Exco Armada Mohd Fahim Mohd Farid pula menyifatkan kenyataan Hasni sebagai "biadab dan tidak boleh diterima."

Memberi contoh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang rajin bekerja "kalah orang muda" walaupun sudah berusia 94 tahun, Mohd Fahim berkata hal yang paling penting terletak pada semangat untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan umur seseorang.

"Ayuh rakan-rakan sama ada Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional kita tunjuk semangat demokrasi yang matang dan mempunyai nilai-nilai yang positif," katanya dalam suatu hantaran di Facebook.

Hari ini, BN mengadakan majlis pelancaran jentera pilihan raya bagi PRK yang bakal berlangsung.

Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahidi ketika berucap berkata BN tidak akan mengumumkan calon mereka pada hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November ini sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil parlimen itu.