Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon BN sudah dibincangkan dengan MCA - Zahid

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | BN telah mengadakan perbincangan dengan MCA mengenai calon yang akan dipertaruhkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, beliau memberikan kuasa kepada Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammed untuk mengumumkan calon berkenaan.

"Saya telah berbincang dengan (Presiden MCA) Wee Ka Siong dan rakan-rakan dalam BN, bahawa dengan ini saya ingin mengumumkan bahawa kami memberi kuasa kepada Hasni untuk mengumumkannya (calon) dalam waktu yang paling sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera BN bagi PRK  berkenaan petang ini.

Zahid pada 5 Okt lalu membayangkan Umno akan meletakkan calonnya di Tanjung Piai yang merupakan kerusi tradisi MCA.

Bagaimanapun terdapat pimpinan dalam Umno sendiri menggesa agar MCA kekal bertanding di kerusi berkenaan.

Malaysiakini hari ini melaporkan nama Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai, Jefridin Atan dan Ketua MCA Tanjung Piai Wee Jeck Seng disebut-sebut antara calon yang akan dipertaruhkan BN dalam PRK itu 16 Nov nanti.

Sementara itu, Zahid yakin jentera BN termasuk MCA akan bekerja secara berpasukan untuk merampas kembali kerusi Tanjung Piai.

Malah beliau juga yakin jentera PAS akan memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu kemenangan BN.

"Saya amat yakin seluruh jentera PAS akan memenangkan calon BN," katanya.

Kerusi parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dr Mohd Farid Md Rafik dari Bersatu pada 21 Sept lalu.

Pada piihan raya umum lalu, Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Kawasan Tanjung Piai mempunyai hampir 54,000 pengundi dengan 57 peratus adalah Melayu berbanding Cina 42 peratus.