Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-26: Jho Low seperti musang jaga ayam - Shafee

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB memasuki hari ke-26 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawa anda laporan langsung prosiding.


4.40pm: Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan ke esok, yang akan bermula lambat sedikit.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan dia ada urusan di Mahkamah Persekutuan pada awal pagi esok, sebelum ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Hakim membenarkan permohonan Shafee agar perbicaraan dimulakan pada pukul sebelas pagi, berbanding kebiasaannya iaitu 9.30 pagi.


4.21pm: Peguam Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, sebagai musang yang menjaga ayam.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shafee membuat perbandingan itu ketika Shahrol berkata beliau berulang-alik antara pengerusi lembaga penasihat 1MDB Najib Razak, Jho Low dan lembaga pengarah syarikat itu.

Menurut Shahrol, selepas mesyuarat dengan Najib atas kapasiti sebagai pengerusi lembaga pengarah 1MDB pada 16 Oktober 2009, dia pergi bertemu Jho Low, mendapatkan minit mesyuarat antaranya dengan Najib dan kembali kepada lembaga pengarah 1MDB.

Muhammad Shafee Abdullah

Shafee kemudian berkata ia sama seperti meminta musang untuk menjaga ayam.

Shafee: Adakah salah jika saya kata Jho Low adalah musang yang menjaga ayam?

Shahrol: Saya melihatnya sebagai pelancar kerja (facilitator) untuk Najib. Kini seakan dia (Jho Low) juga melancarkan penyelewengan (wang) daripada 1MDB.

Saya rasa perlu tahu bahawa pada 2010, Good Star Limited (didakwa milik Jho Low) menghantar wang kepada Red Granite (syarikat penerbitan filem yang ada kaitan dengan anak tiri Najib, Riza Aziz).

Shafee: Kenapa anda sentuh isu Red Granite? Tumpu kepada apa yang anda buat dan tak buat (menjawab soalan spesifik yang ditanya).


4.05 petang: Mahkamah diberitahu bahawa Petrosaudi tidak gembira dengan rancangan 1MDB mendapatkan penilaian bebas ke atas aset yang dikatakan disuntik Petrosaudi ke dalam syarikat usaha sama mereka.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Saksi itu berkata Petrosaudi menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan "tahap kepercayaan" dalam usaha sama mereka.

Shahrol berkata pada masa itu dia tidak mengesyaki apa-apa, namun kini percaya keraguan dibangkitkan lembaga pengarah 1MDB terhadap nilai aset Petrosaudi mempunyai asas.


3.40pm: Mahkamah mendengar bahawa wakil undang-undang 1MDB telah diberi gambaran salah untuk percaya bahawa firma penilai yang dilantik oleh Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd sebagai penilai bebas pada tahun 2009.

Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan ini semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan mengenai memorandum yang disediakan oleh Brian Chia dari Wong & Partners, yang menyatakan bahawa Edward Morse adalah entiti bebas dalam proses penilaian.

Shahrol juga bersetuju dengan cadangan oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah bahawa memorandum itu menunjukkan bahawa Chia tidak mempunyai pemahaman asas mengenai perkara itu.

Ditanya siapa bertanggungjawab memberi maklumat kepada peguam, Shahrol berkata kemungkinan ia dilakukan oleh pengarah eksekutif 1MDB ketika itu, Casey Tang.

Shafee: Pendek kata, memo dari Brian Chia dibuat tanpa pengetahuan asas tentang aset PSI, dan yang kedua, dia tidak mempunyai pengetahuan asas bahawa AS$700 juta telah dibayar kepada Good Star?

Shahrol: Ya


3.18pm: Shahrol memberi keterangan bahawa beliau mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada Najib yang merupakan pengerusi penasihat 1MDB.

Kenyataan itu menyebabkan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah menuntut sama ada saksi kesembilan itu mempunyai bukti tentang perkara itu.

Shafee: Anda bersetuju sebagai anggota kanan pengurusan (1MDB), anda mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada syarikat (1MDB)?

Shahrol: Ya.

Shafee: Anda tidak bertanggungjawab terhadap Najib sebagai pengerusi penasihat 1MDB dan perdana menteri?

Shahrol: Itu bukan apa yang berlaku.

Shafee: Saya tidak peduli apa yang berlaku. Saya bertanya kepada anda jika anda mempunyai kewajipan fidusiari kepada perdana menteri (Najib)?

Shahrol: Saya ada (tanggungjawab fidusiari kepada Najib).

Shafee: Tunjukkan saya bukti berdokumen.

Shahrol: Saya tidak ada (bukti). (Saya merujuk) Artikel Persatuan (1MDB), pelantikan pengurusan kanan (sebagai CEO), yang dibuat oleh perdana menteri.


3.10pm: Mahkamah mendengar dari bekas CEO 1MDB bahawa Najib Razak pada Oktober 2009 menasihatkan lembaga pengarah syarikat itu bahawa mereka tidak perlu mendapatkan penilaian kedua aset Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd di Turkmenistan dan Argentina.

Najib, yang merupakan bekas perdana menteri, adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Menurut Shahrol Azral Ibrahim Halmi, beliau telah pergi menemui Najib pada 16 Oktober 2009 untuk mendapatkan nasihatnya bagi pihak lembaga pengarah.

Ini berikutan kebimbangan ahli-ahli lembaga mengenai nilai aset PetroSaudi (Cayman) yang dinilai oleh firma Edward Morse, kerana mereka mengesyaki tidak sebanyak yang didakwa.

Aset-asetnya itu adalah apa yang dikatakan disuntik PetroSaudi International (PSI) untuk usahasama dengan 1MDB, yang dinilai AS$2.2 bilion.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol bersetuju bahawa Najib tidak menggunakan kata-kata yang menghalang 1MDB daripada meneruskan rancangan mereka untuk mendapatkan penilaian kedua.

Beliau bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa Najib hanya memberi nasihatnya.

Bagaimanapun, Shahrol memberi keterangan bahawa pada masa itu, beliau percaya Najib tidak mahu mereka melakukan penilaian kedua.

Shafee: Pengerusi lembaga penasihat (Najib) tidak pernah memberitahu anda untuk tidak mengambil penilaian kedua. Dia hanya menyatakan pendapatnya.

Shahrol: Saya tidak bersetuju, itu bukan apa yang saya fikirkan


2.50pm: Mahkamah dimaklumkan bahawa ahli lembaga pengarah 1MDB pernah menyatakan kurang keyakinan dalam penilaian aset yang berkaitan dengan usahasama Petrosaudi International.

Shahrol berkata demikian ketika bersetuju dengan dakwaan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, yang merujuk kepada minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 3 Oktober 2009.

Mesyuarat itu berlangsung selepas perjanjian usahasama 1MDB-Petrosaudi ditandatangani pada September tahun itu.

Shafee: Lembaga pengarah tidak jelas mengenai status pemilikan aset yang dipindahkan kepada syarikat usahasama (PetroSaudi). Adakah itu tidak menyampaikan mesej bahawa mereka (lembaga pengarah 1MDB) tidak bersetuju bahawa jumlah aset dengan Petro Saudi International adalah nilai yang dituntut oleh PSI?

Shahrol: Ya.

Shafee: Itu bermakna lembaga pengarah tidak yakin dengan penilaian Edward Morse (terhadap aset itu)?

Shahrol: Ya.

Mahkamah sebelum ini mendengar tuduhan bahawa status Moss sebagai penilai bebas dipertikaikan.


2.48pm: Prosiding disambung semula.


12:54pm: Mahkamah berehat dan akan disambung semula pukul 2.30 petang.


12.37pm: Mahkamah dimaklumkan bahawa 1MDB dan syarikat Jho Low, Good Star Ltd telah menandatangani perjanjian pinjaman pada Jan 2010.

Berdasarkan dokumen yang dibentangkan sebagai bukti dalam perbicaraan, ia menunjukkan bahawa pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang telah menandatangani dokumen di mana 1MDB dikatakan sepakat untuk meminjamkan Good Star sejumlah AS$700 juta.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati bahawa ia dokumen palsu, kerana bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa 1MDB tidak pernah berurusan dengan Good Star.

"Itu penipuan. Kami (1MDB) tidak pernah membuat apa-apa transaksi dengan Good Star," kata saksi.

Shahrol berkata Casey Tang menandatangani dokumen itu tanpa pengetahuannya sebagai CEO, atau memaklumkan lembaga pengarah 1MDB.

Shahrol berkata, jika perlu menerka, dokumen yang dikatakan perjanjian itu adalah percubaan penipuan oleh Jho Low dan sekutunya untu meyakinkan bank bahawa Good Star telah memperoleh wang secara sah.


12.25pm: Bekas CEO 1MDB berkata bahawa dia akan meletakkan jawatan di syarikat itu ika diberi peluang kedua memegang jawatan sama dan dihadapkan semula pelbagai dakwaan berhubung salah laku Jho Low dan bekas ketua pegawai kewangan Casey Tang.

Shahrol mengakui bahawa dia tidak tahu sama ada maklumat yang diberitahu Jho Low dan Tang dalam usahasama 1MDB-Petrosaudi itu benar atau tidak, termasuk pemecahan AS$700 juta yang dikatakan untuk usahasama berkenaan.

Shafee: Jika diberi peluang untuk menjadi CEO lagi (untuk 1MDB), adakah anda akan menyemaknya?

Shahrol: Saya akan meletakkan jawatan serta-merta.

Shahrol bagaimanapun berkata dia sehingga hari ini masih percaya bahawa 1MDB adalah syarikat strategik untuk Najib.


12.20pm: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak menolak kemungkinan Jho Low memberi gambaran salah kepada Najib.

Shafee: Sekiranya CEO 1MDB yang profesional boleh diberi gambaran salah, anda setuju ada kemungkinan bahawa Jho Low memberi gambaran salah kepada Najib?

Shahrol: Ada kemungkinan.


12.04pm: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa dia hanya mengimbas sepintas lalu laporan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) berhubung syarikat itu.

Dia mendakwa ini kerana DOJ turut menuduh beliau bersubahat dalam pemindahan AS$700 juta 1MDB kepada syarikat Good Star milik Jho Low pada 2009.

Shahrol mendakwa bahawa DOJ juga tidak mempunyai maklumat lengkap, dan tiada sesiapa dari jabatan itu yang datang untuk bertanya kepadanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam pembelaan utama Muhammad Shafee Abdullah, mahkamah juga mendengar dari Shahrol bahawa dia digambarkan dalam laporan DOJ sebagai "1MDB Offical Number 2".

Beliau berkata bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang pula digambarkan sebagai "1MDB Offical Number 2" dalam laporan itu.


12.00pm: Mahkamah mendengar bahawa AS$700 juta yang 1MDB sepatutnya bayar sebagai sebahagian daripada usahasama AS$1 bilion dengan Petrosaudi telah didepositkan kepada syarikat Good Star milik Jho Low.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendakwa bahawa ketika wang berkenaan dipindahkan pada tahun 2009, dia tidak tahu bahawa Good Star dimiliki oleh Jho Low.

Dia mengatakan bahawa wang tersebut dipindahkan ke akaun RBS Coutts Bank 11116073 (akaun Good Star) kerana Petrosaudi memaklumkan 1MDB bahawa akaun itu milik rakan niaga Petrosaudi.

Menurut Shahrol, salah seorang eksekutif Petrosaudi International, sama ada Patrick Mahoney atau Tarek Obaid, yang memaklumkan perkara itu.

Shahrol mendakwa bahawa dia hanya mengetahui tentang Good Star yang dimiliki oleh Jho Low apabila dia membaca mengenai perkara itu pada laporan media beberapa tahun kemudian.


11.21am: Prosiding disambung semula.


10.28am: Mahkamah berehat sebentar.


10.22am: Lembaga pengarah 1MDB tidak dimaklumkan mengenai keputusan untuk memecahkan AS$ 1 bilion oleh 1MDB, yang ditujukan untuk syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi (JVC), kepada AS$300 juta dan AS$700 juta, kata Shahrol.

Saksi pendakwaan ke-9 itu mengesahkan perkara itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam pembelaan utama Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Lembaga pengarah hanya membenarkan satu jumlah penuh sekaligus untuk dibayar kepada syarikat JV dan sebagai balasan menerima 1 bilion saham. Siapa yang memutuskan untuk membahagikannya dan bertentangan dengan keputusan lembaga?

Shahrol: Saya telah bersetuju untuk memecahkannya dengan andaian ia boleh dilakukan, memandangkan Jho (Low) rapat dengan Najib dan semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 Sept, ketika itu, saya fikir: "Ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan semuanya dalam keadaan baik." (Ketua pegawai kewangan 1MDB ketika itu) Casey (Tang) menasihatkan saya bahawa ia tak apa, (boleh dipecahkan) dan kami memaklumkan kepada lembaga pengarah tentangnya selepas itu.

Shafee: Persetujuan lembaga tidak diperoleh sebelum dipecahkan?

Shahrol: Ya.

Shafee: Apakah sukar mendapatkan  kebenaran lembaga pengarah?

Shahrol: Kekangan masa dan ia perlu diselesaikan segera.

Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa AS$700 juta wang itu dipindahkan kepada syarikat Jho Low, Good Star Limited.


9.45am: Najib masuk kandang tertuduh. Prosiding bermula.


9.32am: Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam sementara menunggu permulaan prosiding.


Pasukan pembelaan dijangka menyoal bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung peranan bekas eksekutif PetroSaudi International (PSI) Xavier Justo dalam kes RM1.28 bilion 1MDB Najib.

Minggu lalu, peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tentang niatnya untuk menyoal saksi kesembilan itu mengenai pemberi maklumat kelahiran Switzerland, Justo.

Justo memainkan peranan penting dalam mendedahkan skandal kewangan 1MDB, yang pada satu ketika membawa kepada hukuman penjara 18 bulannya di Thailand.

Ketika hari ke-26 perbicaraan disambung semula di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sekitar jam 9.30 pagi, pasukan pembelaan juga akan menyoal Shahrol berhubung surat-menyurat antara bank pelaburan 1MDB, PSI dan bank pelaburan Jerman, Deutsche Bank.

Jabatan Kehakiman AS sedang menyiasat Deutsche Bank mengenai urusannya dengan 1MDB.

[Berita lanjut menyusul]