Skip to main
Logo Malaysiakini

Sedekad perjuangan Yuko untuk anak di tali gantung

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Segalanya bermula pada Oktober 2009 apabila Yuko Takeuchi menerima panggilan telefon jarak jauh daripada anak tunggalnya, Mariko.

Dan bermulalah mimpi buruknya yang berterusan sehingga kini.

Ketika itu Yuko mendengar tangisan anaknya sebelum diteruskan dengan kata-kata: "Saya ditangkap".

Mariko, ketika itu berusia 35 tahun, menelefon daripada KLIA. Dia baru tiba dari Dubai dan ditahan di balai ketibaan bersama-sama 3.5kg syabu dalam begnya.

"Saya bingung, terkejut. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Malah saya tak pernah dengar 'Malaysia' sebelum penahanannya," kata wanita berusia 71 tahun itu kepada Malaysiakini.

Bagi Yuko, ia merupakan permulaan satu perjalanan yang panjang, dengan dia dan suaminya yang sakit mengorbankan segala-galanya untuk menyelamatkan anak mereka daripada tali gantung.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap Mariko. Bekas jururawat itu merupakan wanita Jepun pertama yang dijatuhkan hukuman itu atas kesalahan menyeludup dadah di Malaysia.

"Saya telah habiskan semua simpanan berjumlah 3.5 juta Yen (RM134,500) untuk peguam dan kos lain. Saya tak tahu nak buat apa lagi (untuk selamatkan Mariko)," katanya yang dibantu seorang penterjemah ketika ditemui di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 22 Oktober lalu.

Sedekad dalam penjara

Untuk ke Malaysia, dia menaiki kereta api selama 90 minit dari rumahnya di Tsugaru, Aomori untuk ke satu lagi stesen kereta api. Kemudian dia menaiki satu lagi kereta api - perjalanan enam jam - untuk ke lapangan terbang.

Secara keseluruhan, dia mengambil masa 15 jam untuk tiba di Kuala Lumpur.

Katanya, setiap langkah dalam usaha menyelamatkan nyawa Mariko memerlukan usaha yang bukan kecil anak.

"Malah untuk tulis surat pun kerana tiada seorang di bandar tempat saya tinggal tahu bahasa Inggeris.

"Mungkin jika saya tinggal di Tokyo, ada yang akan dapat bantu. Tetapi di Aomori, tiada yang dapat beri panduan kepada saya."

Pada 21 Oktober lalu, dia meninggalkan suaminya yang berusia 81 tahun dan uzur untuk melawat Mariko buat kali kelima selepas kira-kira sedekad anaknya dipenjara.

"Dia nampak tenang berbanding lawatan terakhir saya beberapa tahun lalu. Pada masa itu, dia murung selepas mahkamah persekutuan mengekalkan sabitan.

"Saya bawa majalah, buku dan pensel untuknya kurangkan kebosanan," katanya.

Yuko memberitahu anaknya telah belajar untuk bercakap bahasa Melayu sepanjang sepuluh tahun di sini.

Pengaruh kawan

Mengimbas kembali, Yuko percaya Mariko dipergunakan oleh kawannya, Miki, yang dikenali ketika bekerja sebagai jururawat di Tokyo.

"Saya syak Mariko dipengaruhi Miki untuk terlibat," katanya, sambil menambah sebelum penahanan Mariko, dia mendapat tahu bahawa Miki ditahan oleh polis di Jepun, tetapi tidak tahu perincian tentangnya.

Dia berkata Mariko adalah seorang yang bersifat introvert dan sukar berkawan tetapi "apabila dia suka terhadap seseorang, dia akan memberi sepenuh perhatian terhadapnya".

Ketika ditanya sama ada dia tahu bahawa hukuman mati di Malaysia digantung seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong Oktober tahun lalu, Yuko tampak terkejut.

Dia lantas berlinangan air mata, barangkali selepas mendapat tahu wujud kemungkinan Mariko dapat diselamatkan.

"Tiada siapa yang beritahu saya (tentang moratorium hukuman mati)."

Yuko dan Mariko nampaknya tidak diberitahu tentang perkembangan itu memandangkan mereka tidak lagi mendapatkan khidmat peguam selepas rayuan ditolak Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Pada 20 September, Liew mengumumkan jawatankuasa khas bagi mengkaji alternatif kepada hukuman mati mandatori.

Dipengerusikan bekas ketua hakim negara Richard Malanjum, jawatankuasa sembilan anggota itu diberi masa tiga bulan untuk membuat kajian dan mengemukakan syor kepada kerajaan.

Pada Oktober lalu, Liew berkata penggantungan hukuman mati telah dikenakan kepada kira-kira 1,267 banduan yang dijatuhkan hukuman itu sebelum ini.

Ditanya tentang harapannya, ini kata-kata Yuko: "Saya harap anak saya tak akan digantung. Saya harap satu hari nanti dia akan diberi pengampunan dan kembali ke pangkuan keluarga."