Skip to main
Logo Malaysiakini

Sosma menafikan hak perbicaraan adil tertuduh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Mutakhir ini, ramai pihak yang berbicara mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, khususnya mengenai kuasa polis menangkap dan menahan mana-mana orang disyaki terlibat dalam ‘kesalahan keselamatan’ sehingga 28 hari.

Hujah mengenai mengapa Sosma diperlukan juga banyak berkisar pada keperluan kuasa khas diberikan kepada pihak polis untuk menyiasat kes-kes berkenaan dengan terorisme dan sebagainya.

Akan tetapi, perbincangan umum mengenai Sosma ini tidak banyak menyentuh pada kesan akta itu apabila seseorang suspek dituduh di mahkamah dengan mana-mana ‘kesalahan keselamatan’, iaitu membabitkan Bab VI, VIA dan VIB Kanun Keseksaan, Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.

Seseorang yang dituduh mengikut kesalahan keselamatan tidak boleh dijamin, melainkan sekiranya tertuduh adalah bawah umur, wanita atau sedang sakit atau uzur.

Malahan sekiranya seseorang didapati tidak bersalah sekalipun pada akhir perbicaraan, tertuduh masih tidak boleh dibebaskan oleh mahkamah sehinggalah proses rayuan dilupuskan di mahkamah atasan.

Ini bermakna, tertuduh ‘dihukum’ sepanjang proses undang-undang berlangsung di mahkamah. Ia bertentangan dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum selagi tidak dibuktikan bersalah.

Sosma juga mempunyai peruntukkan yang bertentangan dengan peraturan keterangan dan pembuktian yang termaktub dalam Akta Keterangan.

Contohnya, menurut Seksyen 18A Sosma, apa-apa pernyataan oleh tertuduh - sama ada secara lisan atau bertulis - kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah diterima (admissible) sebagai keterangan.

Berakhir dengan sabitan

Maka, apa yang selalu terjadi dalam kes-kes melibatkan tahanan Sosma ialah individu yang ditahan akan diberi tekanan untuk menandatangani ‘pengakuan’ di bawah Seksyen 18A Sosma, dan akan kemudiannya digunakan di mahkamah.

Kebolehterimaan ‘pengakuan’ itu tidak boleh dicabar kerana peruntukkan Seksyen 18A.

Di samping itu, terdapat juga peruntukkan lain dalam Sosma yang berat sebelah, seperti penggunaan saksi terlindung yang tidak diketahui identitinya di bawah Seksyen 14 Sosma, kebolehterimaan (admissibility) semua barang dan dokumen yang disita dalam apa jua keadaan sekalipun di bawah Seskyen 20 Sosma, dan lain-lain.

Kesan keseluruhan -peruntukan itu ialah, individu yang dituduh dan dibicarakan mengikut Sosma tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Maka, tidak mengejutkan jika sebahagian besar individu yang didakwa melakukan kesalahan keselamatan akan mengaku salah, manakala yang minta untuk dibicarakan selalunya akan berakhir dengan sabitan.

Tidak ada sesiapa yang menentang usaha untuk membenteras dan melawan terorisme atau mana-mana ancaman terhadap keselamatan dalam negara.

Tidak dinafikan juga memang ada keperluan untuk undang-undang khas bagi menyiasat dan membenteras ancaman-ancaman terhadap keselamatan dalam negara.

Akan tetapi, setiap undang-undang mestilah menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, selepas siasatan dijalankan dan suspek didakwa di mahkamah, tidak ada lagi keperluan untuk peruntukan khas yang berpihak kepada pihak pendakwaan dalam membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh.

Keterangan dan pembuktian yang didapati semasa perbicaraan - yang menyebabkan pendakwa raya membuat keputusan untuk mendakwa - sepatutnya mencukupi untuk membuktikan kes pendakwaan seperti kes-kes jenayah lain.

Sosma adalah undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan. Kerajaan digesa untuk memansuhkan akta tersebut dan menggantikan dengan undang-undang lain yang lebih adil, sekiranya diperlukan.


SYAHREDZAN JOHAN ialah setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Tanjung Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.