Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Esok kita pakat-pakat pakai batik ke parlimen’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Sesi soal jawab lisan berhubung pembudayaan pemakaian batik, khususnya di kalangan anggota parlimen di Dewan Rakyat berakhir dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, berjanji untuk memakai tali leher batik ke Parlimen esok.

Malah dia turut menggalakkan anggota parlimen lain untuk berbuat demikian esok.

“Besok kita pakat-pakat pakai batiklah. Tali leher, tali leher.

“Saya akan datang esok dengan tali leher batik,” katanya disambut tawa anggota parlimen yang hadir.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh), Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menjelaskan kementerian berharap pemakaian batik di kalangan anggota parlimen lelaki pada hari Khamis akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Kementerian mengharapkan pemakaian batik di Parlimen akan dapat menjadi kenyataan dalam masa terdekat,” katanya, sambil memberi contoh pemakaian batik di kalangan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam setiap Khamis sejak 2008.

Namun, katanya, biarpun langkah itu belum mendapat lampu hijau dari Dewan Rakyat, anggota parlimen boleh mengambil inisiatif sendiri untuk menjayakan pemakaian batik tersebut.

“Walaupun kita masih belum mendapat jawapan positif dari pihak dewan, tapi kita bolehlah memakai, kalau bukan baju batik, pakai tali leher batik pun boleh jugalah,” katanya sambil menunjukkan ke arah tali leher bercorak batik yang dipakainya.

Dalam soalannya, Nurul Izzah bertanyakan tentang usaha kementerian membudayakan batik Malaysia bagi menangani lambakan batik dari luar negara dan meminta kementerian berperanan meningkatkan pembudayaan pemakaian batik di kalangan rakyat, khususnya di Dewan Rakyat.

Dalam soalan tambahannya, Nurul Izzah memberikan contoh ketika pengumuman kabinet oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo, semua perwakilan mengenakan persalinan batik.

Cadangan Nurul Izzah mendapat sokongan beberapa anggota parlimen, termasuk Ahmad Maslan (BN-Pontian), Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) serta Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar).

“Saya sokong pakai batik di Dewan Rakyat,” kata Ahmad Maslan ketika mencelah.