Skip to main
Logo Malaysiakini

‘PAS tolak jawatan exco Perlis kerana negeri miskin'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Amanah Terengganu melihat tindakan PAS menolak tawaran jawatan exco Perlis kerana negeri itu miskin dan enggan menerima Umno sebagai exco Terengganu kerana tidak berminat berkongsi kekayaan.

Pengerusinya Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, PAS hanya berminat untuk berkongsi pengaruh, tetapi tidak berminat untuk berkongsi kekayaan.

Merujuk kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Mana yang menolak jawatan exco Perlis, katanya, jawapan tersebut tidak ada kaitan atau relevan kepada soalan beliau sebelum ini mengenai "mengapa PAS tidak boleh melantik dua exco Umno Terengganu".

"Rayuan Presiden Umno, Ahmad Zahid (Hamidi) dengan ungkapan "maaf dari hujung rambut ke hujung kaki" seolah-olah dibuat oleh seorang wanita yang berdosa besar kepada suaminya dan merayu mengharap sesuatu belas ihsan daripada suaminya.

"Takkan PAS tidak boleh memberi ehsan kepada Umno yang pernah memberi wang ihsan kepada mereka daripada hasil minyak Terengganu dan Kelantan? Keadaan di antara situasi Perlis dan Terengganu amat jauh bezanya.

"PAS tidak berminat duduk dalam kerajaan Perlis kerana Perlis negeri miskin. Umno berminat duduk dalam kerajaan Terengganu kerana ia kaya hasil minyak. PAS hanya berminat berkongsi pengaruh, tetapi tidak minat berkongsi kekayaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Raja Bahrin yang juga adalah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan mencabar PAS supaya memberikan jawatan exco kepada Umno Terengganu.

Ia susulan permintaan Ahmad Zahid yang berharap bekas menteri besar Terengganu iaitu Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman dapat berada dalam saf kepimpinan kerajaan negeri itu.

Semalam, Tuan Ibrahim menjelaskan PAS menerima tawaran bagi jawatan exco di Perlis namun membuat keputusan untuk tidak menerima pelawaan itu.

Sementara itu, Raja Bahrin berkata hakikat sebenarnya adalah PAS hanya ingin menggunakan Umno untuk menambah kuasanya tetapi tidak berhasrat berkongsi kuasa kewangan sedikit pun dengan sesiapa.

"Realiti dalam 'perkahwinan mutaah' PAS-Umno yang mesti ditelan oleh Umno ialah ungkapan: What is yours is mine, what is mine is mine atau ‘Kepunyaan anda adalah kepunyaan saya juga, tetapi kepunyaan saya hanyalah untuk saya sahaja’.

"Kerana itulah ungkapan dramatik mendayu-dayu presiden Umno (adalah) kisah sedih kasih tidak dibalas," katanya.