Skip to main
Logo Malaysiakini

Wee Jeck Seng 'panaskan enjin' di majlis Deepavali

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas penyandang kerusi parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng yang baru diumumkan sebagai calon BN jelas teruja untuk memulakan kempen bagi merampas kembali kerusi parlimen itu.

Beliau yang pernah memegang kerusi parlimen itu pada 2010-2018 semalam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai.

Kerusi parlimen itu kosong selepas penyandangnya sebelum ini Dr Md Farid Mr Rafik meninggal dunia pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Dalam PRU ke-14 sebelum ini, Wee kehilangan kerusi yang dipegang selama dua penggal kepada Farid yang mewakili PH dengan majoriti kurang daripada seribu undi.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi tentang calon yang akan dipertaruhkan BN dalam PRK kali ini.

Tetapi malam semalam jelas pentas menjadi milik Wee apabila dia tampil memberi sepatah dua kata kepada para hadirin di majlis sambutan Deepavali anjuran BN di Tanjung Piai.

"Kita telah diberi peluang untuk bertanding di Tanjung Piai dan kita mesti mengambil peluang untuk merampas kembali kerusi yang pernah kita pegang dulu," kata Wee.

Dia kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai, Hasni Mohammad dan bekas ketuanya, Jefridin Atan yang tampil memberikan sokongan kepadanya.

"Kita mesti bekerja bersama-sama sebagai sebuah pasukan.

"Kita dalam BN berada dalam keluarga yang sangat besar," katanya.

Dia turut menggesa jenteranya untuk belajar daripada kesilapan ketika tewas dalam perebutan kerusi itu pada PRU-14 yang lalu.

"Lihatlah kerajaan PH ini. Mereka berjanji tetapi semuanya adalah janji kosong," kata Wee.

Wee juga sempat menyentuh isu kenaikan harga barang walaupun GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) telah dihapuskan oleh kerajaan PH.

"Kita mesti menggunakan PRK Tanjung Piai ini untuk menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa rakyat terutamanya di kawasan ini tidak berpuas-hati dengan mereka," tambahnya lagi.

Wee yang berucap kepada masyarakat India dalam majlis tersebut juga meminta agar semua ahli parti komponen BN memberikan sokongan sepenuhnya pada PRK itu nanti.

Dua lagi calon yang sudah mengesahkan penyertaan dalam PRK Tanjung Piai setakat ini adalah Wendy Subramaniam, timbalan setiausaha agung parti Gerakan serta calon PH, Karmaine Sardini yang juga merupakan ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai.

Perebutan kerusi parlimen di Tanjung Piai kali ini bakal menjadi tumpuan memandangkan ia adalah PRK pertama yang ditandingi BN selepas mengumumkan kerjasama dengan PAS melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.