Skip to main
Logo Malaysiakini

BN boleh menang kalau protes dalaman Umno reda

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Pemerhati politik berpendapat BN masih berpeluang menang meskipun mempertaruhkan calon MCA, dengan syarat gabungan itu berjaya meredakan protes dalaman parti.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Jeniri Amir, berkata penyertaan dua lagi calon daripada Gerakan dan Berjasa juga tidak memberi impak di Tanjung Piai.

"Kalau Umno dapat meredakan protes dalaman parti itu (terhadap calon BN) dan dapat sokongan rakan komponen BN serta PAS, mereka boleh memberi ancaman kepada PH dan mencipta kemenangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut beliau, kemenangan akan memihak kepada pembangkang jika tiada perpecahan dalaman, serta PAS memberikan dukungan padu, dan ditambah dengan prestasi PH yang didakwanya tidak menunaikan janji.

Penyertaan dua calon lain, kata Jeniri, tidak memberi kesan besar kepada BN dan PH.

"Bagi saya Gerakan sekadar pemecah undi, Berjasa pula parti 'nyamuk' yang prestasinya di bawah Gerakan. Pertembungan utama adalah antara PH dan BN," katanya.

Sebelum ini, Umno dikatakan mahu meletakkan calon untuk bertanding di kerusi berkenaan kerana sentimen pengundi Melayu yang mahukan calon Melayu.

Kalau benar sayang BN

Bagaimanapun BN membuat keputusan untuk mempertaruhkan kembali penyandang kerusi itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng, untuk merampas kembali Tanjung Piai daripada PH.

PH pula menamakan Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardiri, sebagai calon untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Allahyarmah Md Farid Md Rafik pada PRU tahun lalu.

Hari ini, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, memberikan beberapa alasan mempertahankan keputusan BN memberi laluan kepada MCA.

Bagi pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, BN mempertaruhkan jasa dan populariti Wee bagi mencipta kemenangan.

Katanya, BN berpeluang menang di Tanjung Piai walaupun mengekalkan calon MCA yang dilihat kurang mesra dengan PAS di kerusi majoriti Melayu.

"Saya melihat pemimpin BN menggunakan strategi serampang dua mata dengan menurunkan Wee.

"Strategi pertama ialah mempertaruhkan populariti dan jasa Wee yang pernah menjadi anggota parlimen selama dua penggal di situ, manakala strategi kedua ialah untuk membuang imej Muafakat Nasional sebagai pakatan yang rasis untuk jangka panjang walaupun Wee mungkin kalah," katanya.

Sementara itu, pemerhati politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis, menyifatkan BN memilih laluan sukar apabila meletakkan MCA bertanding di situ.

PH pula, katanya, dilihat membuat keputusan tepat apabila meletak calon Melayu dan Islam bagi memenuhi sentimen pengundi tempatan.

"BN mengambil risiko meletakkan calon bukan Melayu dan saya kira ia menyukarkan diri sendiri, peluang untuk BN menang tampak sukar.

"MCA sepatutnya membuktikan kesantunan kepada BN dengan memberi semula Umno mewakili BN di Tanjung Piai sekiranya mereka benar-benar sayangkan BN," katanya.