Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan jadikan masjid di Tanjung Piai pentas kempen - Mujahid

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PRK TG PIAI | Parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai pentas untuk berkempen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan semua pihak supaya akur terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu masjid di negeri itu bebas daripada politik.

"Saya amat yakin dengan titah Tuanku Sultan Johor yang baginda telah mengingatkan berkali-kali masjid bukannya tempat digunakan untuk berpolitik.

"Saya harap semua pihak berpolitiklah dalam kempen, tapi jangan sesekali gunakan masjid untuk berkempen," katanya ketika ditemui selepas program Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Nordin Ibrahim.

PRK Tanjung Piai yang membuka gelanggang kempen hari ini menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), BN, Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon Bebas.

Ketua Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini yang dipertaruhkan PH akan dicabar Ketua MCA bahagian itu yang juga bekas anggota parlimen kawasan itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng.

Gerakan diwakili timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam dan Berjasa oleh presidennya Dr Badrulhisham Abdul Aziz.

Dua calon bebas ialah Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya bekas timbalan menteri di JPM, Dr Mohd Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Pada PRU ke-14, calon PH, Farid memenangi kerusi parlimen itu apabila memperoleh 21,255 undi, menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Sementara itu, Mujahid yang juga pemimpin Amanah meminta pengundi di Tanjung Piai supaya memilih calon yang berupaya membela nasib rakyat.

"Saya harap mereka (pengundi) memilih calon yang berhasrat untuk membina negara, jadi calon itulah ialah PH yang kita letak untuk membawa harapan. Hanya dia yang boleh tunaikan.

"Jangan undi kerana terpengaruh sentimen perkauman, memberi undi kepada parti yang sama dengan Mohd Farid bermakna meneruskan legasi Mohd Farid," katanya.