PM: K'jaan tolak tawaran pampasan 'kurang dari AS$2 bilion' Goldman Sachs
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyatakan tuntutan AS$7.5 bilion daripada Goldman Sachs sebagai pampasan untuk skandal 1MDB, sementara membayangkan kemungkinan lebih fleksibel dalam rundingan jika bank pelaburan Amerika Syarikat itu "memberi respons secara munasabah.
"Goldman Sachs telah membuat tawaran kurang daripada AS2 bilion...Kami tidak berpuas hati dengan jumlah itu maka kami masih berbincang dengan mereka.
"Jika mereka memberi respons secara munasabah kami mungkin tidak akan begitu bertegas untuk mendapatkan AS$7.5 bilion," katanya seperti dipetik dalam wawancara bersama Financial Times.
Kerajaan menuntut pampasan itu antara lain ekoran peranan Goldman sebagai penaja jamin dan pengendali tiga jualan bon yang meraih AS$6.5 bilion untuk 1MDB.
Kerajaan juga mendakwa bank itu menerima bayaran yang dinaikkan untuk transaksi itu, iaitu berjumlah AS$600 juta.
Setakat ini pendakwa AS telah mendakwa dua bekas pegawai bank itu - Tim Leissner dan Roger Ng - kerana menyeleweng dana daripada 1MDB. Leissner mengaku bersalah mencabuli Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing.
Dalam wawancara itu, Mahathir berkata kerajaan telah menghubungi bank-bank lain yang turut terlibat dalam skandal 1MDB, seperti UBS dan Deutsche Bank.
Beliau juga berkata kerajaan dalam usaha mendapatkan semula AS$1 bilion daripada penyelesaian antara Low Taek Jho dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
"Jumlah (yang disonglap Low daripada 1MDB) jauh lebih besar.
"Kami agak gembira jika dia ada semua jumlah itu...Kami masih cuba mendapatkan kesemua baki dana. DOJ telah menyatakan jika kami dapat membuktikan pemilikan (dana itu), maka kami boleh dapatkan duit itu," katanya seperti dipetik.
Mahathir berkata kerajaan pada masa ini tidak berhubung dengan Low yang kini tidak diketahui lokasinya.
Awal minggu ini, Low dan keluarganya setuju untuk melepaskan tuntutan terhadap sejumlah aset berkaitan 1MDB bagi "menyelesaikan sepenuhnya dan selama-lamanya setiap tindakan sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding kerajaan Amerika" terhadap mereka.
Bagaimanapun Low berkata tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai pengakuan bersalah, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku oleh beliau atau pemilik aset.
Low berdepan beberapa pendakwaan jenayah berkaitan skandal 1MDB kerana didakwa berkonspirasi untuk membiayai dan menyembunyikan pengagihan semasa kempen pilihan raya presiden Amerika 2012.
'Tindakan terhadap Low diteruskan'
Seorang pegawai Amerika Syarikat menjelaskan penyelesaian antara DOJ dan Low tidak bermakna ahli perniagaan itu bersih daripada pendakwaan.
The Star melaporkan Pembantu Setiausaha Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik David R Stilwell sebagai berkata Low kekal dikehendaki pihak berkuasa negara itu.
Katanya siasatan terhadap Jho Low masih diteruskan di AS.
"Kami masih mencari keadilan. Tindakan jenayah masih diteruskan," katanya seperti dipetik.
Stilwell turut membayangkan AS akan memulangkan wang berkaitan 1MDB yang disitanya kepada Malaysia.
Peguam Negara Tommy Thomas menyuarakan sentimen sama iaitu penyelesaian oleh Jho Low tidak mempengaruhi dakwaan jenayah yang dihadapinya di Malaysia.
"Semua pendakwaan kita terhadapnya akan diteruskan, dan dia perlu pulang untuk berdepan dengannya dan bukan bersembunyi sambil membuat segala macam dakwaan yang dia tidak akan mendapat perbicaraan yang adil," katanya seperti dipetik The Edge.
Pada 31 Oktober lalu, peguam Jho Low mendakwa lelaki itu mendapat suaka politik daripada sebuah negara dan kini bebas bergerak di beberapa negara di Timur Tengah, antaranya Emiriah Arab Bersatu.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dengan berkata polis tahu di mana dia berada dan sedang dalam proses membawanya pulang untuk berdepan dengan mahkamah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai